Kenyataan Media No. 43-2026_SUHAKAM Gesa Jaminan Penyertaan Penuh dan Bermakna Semua Warganegara Dalam Proses Pilihan Raya

KUALA LUMPUR (23 JULAI 2026) - Hak untuk menyertai kehidupan politik, termasuk hak untuk mengundi dan dipilih sebagai wakil rakyat, merupakan hak asasi setiap warganegara tanpa diskriminasi. Berdasarkan statistik Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), yang dikongsikan kepada SUHAKAM pada 2 Mei 2026, di Negeri Sembilan sahaja, seramai 28,976 Orang Kurang Upaya (OKU) berdaftar yang layak untuk mengundi. Jumlah ini tidak termasuk individu yang mengalami ketidakupayaan sementara yang disebabkan oleh pelbagai faktor antaranya seperti kemalangan dan penyakit. Data ini menunjukkan kepentingan untuk memastikan sistem pilihan raya benar-benar inklusif dan mampu menjamin penyertaan penuh, berkesan dan bermakna bagi semua pengundi tanpa mengira jenis ketidakupayaan.

Akses kepada penyertaan politik adalah hak asasi yang terpakai kepada semua warganegara tanpa diskriminasi. Ianya merupakan hak asasi yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685) serta Artikel 29 Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD). Walau bagaimanapun, berdasarkan dapatan kajian SUHAKAM, penyertaan OKU secara inklusif masih tidak tercapai oleh pelbagai faktor berstruktur, sebelum, semasa dan selepas proses pilihan raya. Sehubungan itu, SUHAKAM menyeru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), parti-parti politik, calon pilihan raya serta agensi berkaitan untuk menjamin hak tersebut dengan mengambil langkah-langkah berikut:

  1. Menjamin akses fizikal kepada proses pilihan raya
    • Memastikan semua pusat mengundi memenuhi prinsip reka bentuk sejagat (universal design), termasuk penyediaan ramp, laluan OKU, tempat letak kenderaan khas, tandas OKU dan saluran mengundi yang mudah diakses.
    • Menyediakan bantuan mobiliti dan pengangkutan yang bersesuaian bagi pengundi OKU yang memerlukan.
  2. Menyediakan maklumat pilihan raya yang boleh diakses oleh semua
    • Menyediakan manifesto dalam format yang mudah dibaca, tulisan Braille, cetakan besar dan format digital yang serasi dengan pembaca skrin.
    • Memastikan laman sesawang, bahan kempen dan manifesto mematuhi piawaian aksesibiliti digital.
    • Menyediakan sari kata, kapsyen serta Jurubahasa Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) dalam semua ceramah, debat dan kempen pilihan raya.
  3. Memperkukuhkan prosedur pengundian yang mesra OKU
    • Menyediakan maklumat yang jelas mengenai hak pengundi OKU, termasuk penggunaan pengiring dan bantuan munasabah semasa proses pengundian.
    • Memastikan petugas pilihan raya diberi latihan berkaitan hak OKU, komunikasi inklusif dan penyediaan bantuan munasabah, termasuk galakan mempelajari Bahasa Isyarat Malaysia.
    • Menjamin kerahsiaan undi dan autonomi pengundi OKU sepanjang proses pengundian.
  4. Memperluaskan pendidikan sivik yang inklusif
    • Meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penyertaan politik dalam kalangan OKU, penjaga dan masyarakat.
    • Menyediakan maklumat pilihan raya dalam bahasa yang mudah difahami serta format yang memenuhi keperluan semua kategori OKU.
  5. Menggalakkan penyertaan OKU sebagai calon pilihan raya
    • Parti-parti politik digalakkan menyediakan peluang, sokongan dan ruang kepimpinan kepada calon OKU.
    • Menilai semula halangan undang-undang, kewangan dan sosial yang mengehadkan penyertaan OKU sebagai calon pilihan raya.

SUHAKAM menegaskan bahawa demokrasi yang inklusif bukan sekadar memastikan semua rakyat boleh membuang undi, tetapi juga memastikan setiap warganegara mempunyai akses yang sama kepada maklumat, kempen politik, proses pengundian dan peluang untuk dipilih sebagai wakil rakyat. Malaysia tidak boleh mencapai sistem demokrasi yang benar-benar adil sekiranya masih terdapat mana-mana warganegara yang menghadapi kesukaran atau terhalang daripada melaksanakan hak politik mereka hanya kerana ketidakupayaan. Penyertaan penuh dan berkesan OKU dalam kehidupan politik merupakan sebahagian daripada komitmen negara terhadap hak asasi manusia dan prinsip Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) .

Bersempena dengan Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri, Negeri Sembilan yang akan datang, SUHAKAM menggalakkan OKU, ahli keluarga, penjaga, organisasi yang mewakili golongan OKU, pemerhati pilihan raya serta orang awam untuk SEGERA memaklumkan sebarang halangan yang dihadapi sepanjang proses pilihan raya berlangsung melalui saluran emel: PWDcommittee@suhakam.org.my. PRU Dewan Negeri, Negeri Sembilan sekali lagi membuka peluang kepada semua pihak berkepentingan untuk memenuhi tanggungjawab dalam memastikan inklusiviti bermakna dalam proses pilihan raya termasuklah kepada golongan OKU.

Apabila membicarakan isu ini, SUHAKAM sering menerima pertanyaan berkaitan jumlah sebenar OKU yang tidak dapat mengundi. SUHAKAM berpandangan bahawa meskipun hanya seorang sahaja yang dinafikan hak penyertaan politik, maka itu bermakna proses pilihanraya tersebut masih belum inklusif selaras dengan konsep "Tiada Siapa Yang Tertinggal" (Leave No One Behind).

Sehubungan itu, SUHAKAM kekal komited untuk bekerjasama dengan SPR, agensi kerajaan, parti politik, organisasi yang mewakili OKU serta masyarakat sivil dalam memperkukuh sistem pilihan raya yang lebih inklusif, mudah diakses dan menghormati hak setiap warganegara Malaysia.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
23 Julai 2026

Tags: No tags

Comments are closed.