KUALA LUMPUR (9 JULY 2026) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mengalu-alukan pembentangan dan perbahasan Laporan Tahunan 2024 di Dewan Rakyat pada 7 dan 8 Julai 2026 yang melibatkan penyertaan seramai 36 Ahli Parlimen yang membahaskan pelbagai isu hak asasi manusia yang memberi kesan kepada negara. Perbahasan ini mencerminkan komitmen berterusan Parlimen untuk memastikan hak asasi manusia terus menjadi komponen penting dalam tadbir urus negara dan kebertanggungjawaban demokrasi. SUHAKAM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Dato’ Seri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), atas usul membentangkan dan membahaskan Laporan Tahunan tersebut, sekali gus menegaskan komitmen Kerajaan dalam memajukan, melindungi dan memenuhi hak asasi manusia selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan undang-undang serta kepentingan awam. SUHAKAM turut merakamkan penghargaan khas kepada YB Tuan M. Kulasegaran A/L V. Murugeson, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), atas penggulungan perbahasan serta komitmen berterusan beliau dalam memperkukuh agenda hak asasi manusia demi manfaat seluruh rakyat Malaysia.
SUHAKAM records its sincere appreciation to YB Dato’ Seri Azalina Othman Said, Minister in the Prime Minister’s Department (Law and Institutional Reform), for moving the motion to table and debate the Annual Report, reaffirming the Government’s commitment to advancing, protecting and fulfilling human rights in accordance with the Federal Constitution, the rule of law and the public interest. SUHAKAM also expresses its special gratitude to YB Tuan M. Kulasegaran A/L V. Murugeson, Deputy Minister in the Prime Minister’s Department (Law and Institutional Reform), for concluding the debate and for his unwavering dedication to advancing the human rights agenda for the benefit of all Malaysians.
Sepanjang perbahasan selama dua hari tersebut, Ahli-ahli Parlimen daripada kedua-dua belah pihak Dewan telah menunjukkan penglibatan yang amat memberangsangkan dengan membahaskan pelbagai isu hak asasi manusia serta reformasi institusi. Isu-isu utama yang dibangkitkan ialah:
- 1. Memperkukuh kuasa statutori SUHAKAM, termasuk meningkatkan fungsi penyiasatan dan pemantauan, memastikan maklum balas yang tepat pada masanya dan bersifat substantif terhadap syor-syor SUHAKAM oleh kementerian dan agensi, serta meningkatkan sokongan kewangan dan institusi bagi membolehkan Suruhanjaya melaksanakan mandatnya dengan lebih berkesan.
- 2. Melindungi hak kanak-kanak dan kumpulan rentan lain, termasuk wanita, warga emas, orang kurang upaya, Orang Asli dan masyarakat peribumi, serta pekerja migran, di samping memajukan reformasi sistem keadilan juvana dan memperkukuh perlindungan hak ekonomi, sosial dan budaya.
- 3. Menggubal kerangka perundangan dan dasar yang komprehensif berkaitan pelarian.
- 4. Memperkukuh pendidikan hak asasi manusia dan pembangunan kapasiti melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Pendidikan Hak Asasi Manusia (ATHAM) 2.0, peluasan modul latihan hak asasi manusia serta pengintegrasian pendidikan hak asasi manusia dalam sistem pendidikan negara.
- 5. Memajukan reformasi penjara dan pusat tahanan, termasuk menambah baik keadaan tahanan, menangani isu kematian dalam tahanan, meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti, serta memperkukuh program pemulihan, parol dan reintegrasi.
- 6. Melindungi hak dan kebajikan pekerja gig, termasuk memastikan keadaan pekerjaan yang adil, keselamatan pekerjaan, perlindungan sosial, jaminan pendapatan serta mekanisme penyelesaian pertikaian yang berkesan.
- 7. Menangani isu kewarganegaraan, dokumentasi dan akses kepada identiti sah, khususnya bagi individu yang berdepan halangan untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri dan mengakses perkhidmatan awam yang penting.
- 8. Memperkukuh perlindungan hak asasi manusia dalam program pemulihan dan rawatan dadah dengan mengutamakan maruah insan, amalan berasaskan bukti serta penghormatan terhadap hak asasi manusia.
- 9. Menangani cabaran hak asasi manusia yang dihadapi oleh komuniti luar bandar dan kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan, termasuk memastikan akses yang saksama kepada infrastruktur, perkhidmatan asas dan peluang pembangunan mampan.
- 10. Memperkukuh penyelarasan antara agensi, kesepaduan dasar serta kerjasama seluruh kerajaan dalam memajukan dan melindungi hak asasi manusia.
- 11. Menggalakkan kerjasama yang lebih erat antara Parlimen, Kerajaan dan institusi bebas bagi memastikan komitmen serta syor berkaitan hak asasi manusia dapat dilaksanakan dengan berkesan.
SUHAKAM mengalu-alukan perbahasan yang bersifat membina dan substantif ini, yang mencerminkan pengiktirafan semakin meluas bahawa isu hak asasi manusia merentasi semua sektor dan memerlukan tindakan yang selaras daripada Kerajaan, Parlimen serta semua pihak berkepentingan. SUHAKAM menegaskan bahawa Laporan Tahunan merupakan satu mekanisme kebertanggungjawaban yang penting bagi menilai situasi hak asasi manusia di negara ini, mengenal pasti cabaran sistemik serta mengemukakan syor-syor praktikal untuk memperkukuh perlindungan dan pemajuan hak asasi manusia. Laporan Tahunan 2024 ini memberi tumpuan kepada sebelas bidang utama, iaitu:
- a) Reformasi institusi dan pemerkasaan perlindungan hak asasi manusia.
- b) Hak kanak-kanak dan kumpulan rentan.
- c) Kewarganegaraan dan isu tanpa kerakyatan. .
- d) Pelarian dan migran.
- e) Kematian dalam tahanan dan keadaan pusat-pusat tahanan.
- f) Hak Orang Asli/Asal dan masyarakat peribumi serta tanah adat.
- g) Hak orang kurang upaya, hak wanita dan kesaksamaan gender.
- h) Pendidikan dan kesedaran hak asasi manusia.
- i) Reformasi perundangan dan dasar.
- j) Perniagaan dan hak asasi manusia.
- k) Penglibatan Malaysia dalam mekanisme hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.
SUHAKAM menghargai maklum balas yang membina serta komitmen yang ditunjukkan oleh pelbagai kementerian dan agensi terhadap isu-isu hak asasi manusia yang mendesak. Sehubungan itu, SUHAKAM berharap agar segala keprihatinan, syor dan cadangan yang dibangkitkan sepanjang perbahasan Parlimen dapat diterjemahkan kepada dasar, reformasi perundangan dan langkah-langkah pentadbiran yang konkrit oleh kementerian dan agensi berkaitan. Pelaksanaan yang berkesan terhadap syor-syor tersebut akan terus memperkukuh institusi awam, meningkatkan akauntabiliti serta mempertingkatkan perlindungan hak dan maruah setiap individu di Malaysia. SUHAKAM kekal bersedia untuk bekerjasama rapat dengan Kerajaan, Parlimen dan semua pihak berkepentingan dalam memantau kemajuan serta memperkukuh pendekatan berteraskan hak asasi manusia dalam tadbir urus negara
-TAMAT-
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
9 July 2026
