KUALA LUMPUR (17 JUN 2026) - Sempena sambutan Maal Hijrah 1448H, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk menghayati pengajaran besar daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW yang melambangkan ketabahan dalam menghadapi penindasan, usaha mencari perlindungan serta pembinaan sebuah masyarakat yang berteraskan keadilan, keamanan dan penghormatan terhadap maruah insan.
Peristiwa hijrah mengingatkan kita bahawa sepanjang sejarah manusia, terdapat golongan yang terpaksa meninggalkan tempat asal mereka akibat konflik, penganiayaan, ketidakamanan atau pelbagai bentuk penindasan. Pengajaran ini kekal relevan sehingga hari ini ketika dunia masih berdepan dengan pelbagai krisis kemanusiaan yang memaksa jutaan manusia mencari perlindungan dan kehidupan yang lebih selamat.
Dalam konteks Malaysia, perbincangan mengenai isu pelarian, migrasi dan komuniti rentan sering menimbulkan pelbagai pandangan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat. SUHAKAM mengakui kepentingan isu keselamatan negara, kawalan sempadan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara isu ini perlu diberi perhatian sewajarnya. Tanggungjawab untuk mengurus dan menangani perkara-perkara tersebut terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan serta agensi-agensi berkaitan yang diamanahkan untuk melaksanakan tugas tersebut, demi kepentingan negara dan rakyat. Namun demikian, kebimbangan terhadap isu keselamatan tidak seharusnya mendorong kepada penyebaran kebencian, penghinaan atau layanan yang menafikan maruah mana-mana individu atau komuniti. Perbezaan pandangan mengenai dasar dan pengurusan sesuatu isu perlu dibincangkan secara matang dan berasaskan fakta tanpa menjejaskan nilai kemanusiaan yang menjadi asas kepada keharmonian masyarakat.
Cabaran berkaitan migrasi dan perpindahan manusia bukanlah isu yang boleh diselesaikan melalui sentimen permusuhan atau pengasingan sosial. Sebaliknya, ia memerlukan pendekatan yang menyeluruh melalui dasar yang berkesan, penguatkuasaan yang sewajarnya serta kerjasama semua pihak. Dalam hal ini, nilai kemanusiaan dan penghormatan terhadap maruah insan hendaklah terus dipelihara seiring dengan usaha memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara.
Kerangka perlindungan pelarian antarabangsa, termasuk Konvensyen Pelarian 1951 menyediakan panduan yang jelas dalam mengurus isu pelarian termasuk memastikan mereka yang memerlukan perlindungan dilayan selaras dengan prinsip kemanusiaan sejagat. SUHAKAM ingin membawa advokasi yang telah lama diperjuangkan agar Malaysia menyertai Konvensyen tersebut. 146 buah negara telah menjadi pihak kepada Konvensyen ini, termasuk beberapa Negara Anggota ASEAN iaitu Kemboja, Filipina dan Timor-Leste. Sementara menunggu penyertaan, Kerajaan perlu membangunkan satu dasar nasional yang jelas dan menyeluruh berkaitan pelarian dan pencari suaka agar ia dapat membantu memperjelas urus tadbir dan tanggungjawab agensi-agensi berkaitan. Ia juga dapat memperkukuh penyelarasan antara pihak yang terlibat, menangani kebimbangan masyarakat dengan lebih berkesan, serta mewujudkan pendekatan yang seimbang antara kepentingan negara dan pemeliharaan maruah insan serta nilai-nilai kemanusiaan.
Sebagai institusi hak asasi manusia kebangsaan, SUHAKAM akan terus melaksanakan mandatnya untuk memantau, menilai dan menyuarakan sebarang pelanggaran hak asasi manusia yang berlaku di Malaysia tanpa mengira kewarganegaraan, etnik, agama atau status undang-undang. Pada masa yang sama, SUHAKAM menghormati dan menyokong usaha Kerajaan serta agensi-agensi berkaitan dalam memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara terus terpelihara.
-TAMAT-
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
17 Jun 2026
