Kenyataan Media No. 32-2026_SUHAKAM Sambut Baik Keputusan Re Akreditasi Sebagai Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan Berstatus A

KUALA LUMPUR (9 JUN 2026) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyambut baik keputusan Perikatan Global Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan (GANHRI) melalui Jawatankuasa Kecil Akreditasi (SCA) untuk mengesahkan semula akreditasi SUHAKAM sebagai Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRI) berstatus “A”. 

Proses re-akreditasi ini mencerminkan pengiktirafan antarabangsa yang berterusan terhadap pematuhan SUHAKAM kepada Prinsip-prinsip Paris, iaitu piawaian antarabangsa yang diterima pakai oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang mengawal selia kebebasan, keberkesanan, kepelbagaian dan mandat institusi hak asasi manusia kebangsaan. SUHAKAM mengambil maklum pengiktirafan SCA terhadap usaha berterusan Suruhanjaya dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia di Malaysia, serta syor-syor konstruktif yang dikemukakan bagi memperkukuh lagi institusi ini. 

SUHAKAM mengambil maklum syor-syor yang berkaitan, antaranya, memperkukuh kebebasan fungsi dan operasi, meningkatkan ketelusan serta kebebasan proses pelantikan dan pemecatan, memastikan peruntukan dana yang mencukupi, membolehkan lawatan tanpa notis ke semua tempat pelucutan kebebasan, memperkukuh penglibatan Parlimen terhadap laporan SUHAKAM, dan memperkukuh keupayaan institusi untuk melaksanakan mandatnya yang semakin berkembang secara berkesan, termasuk tanggungjawab berkaitan hak kanak-kanak. 

SUHAKAM melihat syor-syor ini sebagai panduan penting ke arah memperkukuh lagi institusi ini selaras dengan Prinsip Paris dan amalan terbaik antarabangsa yang mengawal selia institusi hak asasi manusia kebangsaan yang bebas. SUHAKAM kekal komited untuk meneruskan libat urus dengan Kerajaan, Parlimen, organisasi masyarakat sivil dan semua pihak berkepentingan yang berkaitan bagi menyokong reformasi undang-undang dan institusi yang memperkukuh kebebasan, keberkesanan, kebolehcapaian dan akauntabiliti awam SUHAKAM.

Sebagai NHRI berstatus “A”, SUHAKAM dapat mengambil bahagian sepenuhnya dalam mekanisme hak asasi manusia antarabangsa dan serantau, termasuk Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta proses badan triti. Status ini penting bukan sekadar sebagai satu bentuk pengiktirafan antarabangsa, tetapi kerana ia mengesahkan kepentingan kewujudan sebuah institusi yang bebas, berwibawa dan berkesan, yang didedikasikan untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia semua orang di Malaysia.

Melangkah ke hadapan, SUHAKAM akan terus memperkukuh keupayaan institusinya, menegakkan piawaian integriti dan kebebasan yang tertinggi, serta meningkatkan libat urus dengan orang awam dalam menangani cabaran hak asasi manusia yang berlarutan dan yang sedang muncul. Suruhanjaya kekal teguh dengan visinya untuk membina Malaysia yang berteraskan maruah insan, kesaksamaan, keadilan, akauntabiliti dan penghormatan terhadap prinsip hak asasi manusia sejagat.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

9 Jun 2026

Laporan dan Syor Sesi Ke-47 Jawatankuasa Kecil Akreditasi (SCA) boleh diakses di:

⁠https://www.ohchr.org/sites/default/files/documents/countries/nhri/ganhri/sca-report-47th-session-en.pdf

atau imbas Kod QR berikut:

Tags: No tags

Comments are closed.