Kenyataan Media No. 28-2026_Memperkasa Komuniti Orang Asal Melalui Pembangunan Berteraskan Hak Asasi Manusia

KUALA LUMPUR (15 MEI 2026) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) telah menganjurkan Forum Hak Orang Asal Sabah dan Sarawak pada 6 Mei 2026 di Kota Kinabalu, Sabah, dengan sokongan daripada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR).

Bertemakan “Memperkasa Hak Masyarakat Orang Asal, Memperkukuh Komuniti, dan Membentuk Amalan Perniagaan Berasaskan Hak Asasi Manusia”, forum tersebut telah menghimpunkan kira-kira 200 peserta secara fizikal dan dalam talian dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Peserta terdiri daripada wakil agensi kerajaan, pemimpin dan komuniti Orang Asal, pertubuhan masyarakat sivil, ahli akademik, belia dan wanita Orang Asal, serta wakil sektor perniagaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Forum tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi SUHAKAM, Dato’ Seri Mohd Hishamudin Yunus, dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan pengiktirafan dan perlindungan hak Orang Asal, di samping memastikan pembangunan negara dilaksanakan secara inklusif, saksama dan berteraskan hak asasi manusia. Turut hadir ialah Yang Berhormat Datuk Dr. Maijol Mahap, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.

Sebagai kesinambungan kepada Inkuiri Nasional SUHAKAM mengenai Hak Tanah Orang Asal yang dijalankan antara tahun 2010 hingga 2012, forum ini menjadi platform penting dalam memperkukuh suara, penyertaan dan hak Orang Asal dalam agenda pembangunan negara. Perbincangan memfokuskan kepada hak tanah adat, pemeliharaan budaya dan identiti, serta kesejahteraan keseluruhan komuniti Orang Asal. Forum ini turut menegaskan bahawa pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara perlu dilaksanakan secara inklusif, adil dan berlandaskan prinsip hak asasi manusia. Prinsip Persetujuan Awal, Bebas dan Dimaklumkan (Free, Prior and Informed Consent - FPIC), sebagaimana termaktub dalam Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Asal (UNDRIP) telah ditekankan sebagai perlindungan asas bagi memastikan hak dan kepentingan Orang Asal dihormati dalam semua inisiatif pembangunan.

Sesi plenari pertama memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh penyertaan Orang Asal dalam pembangunan mampan dan diterajui komuniti, termasuk cabaran dalam memastikan penglibatan yang benar-benar bermakna dalam proses membuat keputusan. Sesi plenari kedua meneliti budaya, bahasa dan identiti Orang Asal dalam konteks negara bangsa moden, dengan menekankan kepentingan memelihara warisan budaya sebagai sebahagian penting daripada identiti dan kelangsungan komuniti. Sementara itu, sesi plenari ketiga menekankan kepentingan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan dalam memajukan hak Orang Asal secara kolektif, khususnya melalui peranan institusi kerajaan, masyarakat sivil dan sektor berkaitan.

Forum turut menekankan tanggungjawab bersama semua pihak berkepentingan dalam mempromosikan amalan perniagaan yang mampan dan bertanggungjawab selaras dengan Pelan Tindakan Kebangsaan Malaysia Mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (NAPBHR) 2025–2030. Penekanan ini juga turut disampaikan melalui rakaman klip ucapan ringkas oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar & Pembangunan), Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang(BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, Dato Dr. Punitha Silivarajoo.

Ucapan penutup telah disampaikan oleh Naib Pengerusi SUHAKAM, Datuk Mariati Robert, yang menegaskan bahawa forum ini mencerminkan komitmen berterusan SUHAKAM sebagai institusi hak asasi manusia kebangsaan yang berpandukan Prinsip-prinsip Paris, iaitu piawaian antarabangsa yang menekankan peranan institusi hak asasi manusia kebangsaan dalam mempromosi, melindungi dan memperjuangkan hak asasi manusia secara bebas, telus dan berkesan.

SUHAKAM berharap forum ini dapat menjadi pemangkin kepada kerjasama strategik yang lebih kukuh antara semua pihak berkepentingan dalam merealisasikan aspirasi forum iaitu “Memperkasa Hak Masyarakat Orang Asal, Memperkukuh Komuniti, dan Membentuk Amalan Perniagaan Berasaskan Hak Asasi Manusia”.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
15 Mei 2026

Tags: No tags

Comments are closed.