E1

[OCC] Kenyataan Media No. 51-2026_Insentif Perkahwinan Perak Tidak Wajar Merangkumi Kanak-Kanak, Tegas Pesuruhjaya Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR (30 OGOS 2026) - Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) sedia maklum mengenai laporan media berkaitan cadangan Kerajaan Negeri Perak untuk memperkenalkan Insentif Perkahwinan Kali Pertama sebanyak RM500 bagi golongan belia berumur antara 15 hingga 35 tahun, yang sedang dipertimbangkan di bawah Belanjawan Negeri Perak 2027.

CC menghargai hasrat Kerajaan Negeri Perak untuk membantu golongan muda menangani cabaran kewangan dan sosial berkaitan dengan pembentukan keluarga. Walau bagaimanapun, CC berpandangan bahawa sebarang bentuk insentif perkahwinan tidak seharusnya diberikan kepada kanak-kanak atau individu di bawah umur 18 tahun.

Meskipun seseorang yang berumur 15 tahun adalah termasuk dalam takrifan ‘belia’ di bawah dasar atau perundangan pembangunan belia tertentu, dari perspektif hak kanak-kanak dan di bawah Seksyen 2 Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611], seseorang yang berumur di bawah 18 tahun adalah kanak-kanak. Oleh itu, pengkategorian seseorang sebagai ‘belia’ tidak seharusnya menjejaskan atau mengatasi keperluan kanak-kanak untuk menerima perlindungan khusus yang diberikan kepada mereka berdasarkan piawaian hak kanak-kanak.

CC bimbang bahawa kemasukan kanak-kanak berumur 15 hingga 17 tahun sebagai bakal penerima insentif perkahwinan boleh memberikan isyarat dasar yang tidak selaras dengan usaha mencegah dan membasmi perkahwinan kanak-kanak. Walaupun tujuan insentif tersebut adalah untuk meringankan beban kewangan pasangan muda, pemberian bantuan kewangan yang secara khusus dikaitkan dengan perkahwinan secara tidak langsung boleh mewujudkan persepsi bahawa perkahwinan dalam kalangan kanak-kanak diterima, disokong atau digalakkan.

Kanak-kanak tidak seharusnya diberi insentif untuk berkahwin

Perkahwinan kanak-kanak boleh memberi kesan yang besar dan berpanjangan terhadap hak dan kesejahteraan kanak-kanak, termasuk pendidikan, kesihatan, perkembangan, keselamatan, autonomi, kesejahteraan psikososial dan peluang masa depan mereka. Oleh itu, dasar dan program yang memberi kesan kepada kanak-kanak perlu dinilai dengan mengambil kira prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak, termasuk kesan langsung dan tidak langsung terhadap kehidupan mereka.

Sehubungan itu, CC menyeru agar prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak diberikan pertimbangan utama dalam memuktamadkan sebarang cadangan berkaitan insentif perkahwinan. Kanak-kanak juga hendaklah diberikan peluang untuk menyatakan pandangan mereka, dan pandangan tersebut hendaklah diambil kira dalam perkara yang memberi kesan kepada kehidupan mereka.

Selaras dengan dasar pendidikan menengah wajib

CC berpandangan bahawa cadangan ini perlu dipertimbangkan dalam konteks pengukuhan kerangka pendidikan Malaysia di mana baru-baru ini, Malaysia telah melanjutkan pendidikan wajib hingga ke peringkat menengah melalui pindaan kepada Akta Pendidikan 1996 [Akta 550]. Ini mencerminkan komitmen negara untuk memastikan kanak-kanak kekal dalam sistem pendidikan dan tidak tercicir selepas menamatkan pendidikan rendah. Pendidikan menengah atas merangkumi mereka yang berumur 16 hingga 17 tahun. Oleh itu, cadangan untuk memasukkan individu berumur 15 hingga 17 tahun dalam skim insentif perkahwinan wajar dipertimbangkan dengan teliti, memandangkan kumpulan umur tersebut masih berada dalam tempoh pendidikan menengah.

Sekiranya Insentif Perkahwinan Kali Pertama diteruskan, kelayakan hendaklah dihadkan kepada individu berumur 18 tahun dan ke atas. Langkah ini dapat memastikan bantuan yang diberikan selaras dengan pendekatan berasaskan hak kanak-kanak serta usaha untuk mencegah perkahwinan kanak-kanak.

CC turut mengesyorkan agar sokongan sosial kepada kanak-kanak di bawah umur 18 tahun yang berisiko berkahwin akibat kesukaran ekonomi diberikan sebelum perkahwinan dipertimbangkan. Kemiskinan dan pendapatan isi rumah yang rendah telah dikenal pasti sebagai antara faktor lazim yang menyumbang kepada perkahwinan kanak-kanak di Malaysia. Sokongan dan intervensi Kerajaan sewajarnya disediakan lebih awal bagi mengelakkan perkahwinan dianggap sebagai jalan keluar daripada kesusahan ekonomi yang dihadapi oleh keluarga.

Bantuan tersebut boleh disasarkan kepada keluarga berisiko tinggi melalui sokongan kewangan, langkah-langkah untuk memastikan kanak-kanak kekal dalam pendidikan, bantuan persekolahan, akses kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), perkhidmatan sosial serta intervensi berasaskan keluarga. Matlamatnya hendaklah untuk memastikan kanak-kanak mempunyai pilihan lain yang wajar selain perkahwinan serta berupaya meneruskan pembelajaran, membangunkan kemahiran dan membina masa depan mereka.

Pindaan umur minimum perkahwinan

CC turut menggesa Kerajaan Negeri Perak untuk mempertimbangkan pembaharuan perundangan bagi menetapkan umur 18 tahun sebagai umur minimum perkahwinan bagi lelaki dan perempuan beragama Islam di Perak. Pada masa ini, Seksyen 8 Enakmen Keluarga Islam (Perak) 2004 menetapkan umur minimum 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan, manakala perkahwinan di bawah umur tersebut boleh dibenarkan dengan kebenaran bertulis Hakim Syarie. CC mengesyorkan agar umur minimum perkahwinan ditetapkan secara seragam pada 18 tahun bagi lelaki dan perempuan.

Sekiranya mekanisme pengecualian kehakiman bagi individu di bawah umur 18 tahun dikekalkan, mekanisme tersebut hendaklah benar-benar merupakan suatu pengecualian, ditentukan oleh Hakim Syarie dan tertakluk kepada penilaian ketat berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) berkenaan Permohonan Perkahwinan Bawah Umur. Penilaian tersebut hendaklah merangkumi, antara lain, kebajikan, pendidikan, kesihatan, kesejahteraan psikologi dan keadaan sosioekonomi kanak-kanak.

CC berpandangan bahawa sebarang keputusan berhubung permohonan perkahwinan bagi individu bawah umur 18 tahun harus berpandukan kepentingan terbaik kanak-kanak. Perkahwinan seharusnya tidak dijadikan sebagai penyelesaian kepada kemiskinan, tekanan keluarga, kehamilan, stigma sosial atau keadaan lain tanpa terlebih dahulu meneliti sama ada kanak-kanak tersebut boleh dilindungi dengan secukupnya melalui intervensi alternatif.

Pendekatan yang sewajarnya adalah untuk menyokong golongan dewasa yang ingin membina keluarga, di samping melindungi kanak-kanak daripada didorong atau digalakkan untuk berkahwin sebelum tiba masanya.

CC juga menggesa agar syarat kelayakan umur yang dicadangkan dikaji semula sebelum cadangan tersebut dimuktamadkan atau dipertimbangkan di bawah Belanjawan Negeri Perak 2027.

CC bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Perak bagi memastikan dasar dan program berkaitan golongan muda dibangunkan melalui pendekatan berasaskan hak kanak-kanak, dengan memberikan pertimbangan sewajarnya kepada kepentingan terbaik kanak-kanak serta memastikan setiap kanak-kanak mempunyai peluang untuk membesar, belajar, berkembang dan mencapai potensi sepenuhnya tanpa didorong atau didesak untuk berkahwin ketika masih kanak-kanak.

-TAMAT-

Pesuruhjaya Kanak-Kanak
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
30 Ogos 2026

E1

Kenyataan Media No. 50-2026_SUHAKAM Sambut Baik Langkah Memansuhkan AUKU, Seru Reformasi Pendidikan Tinggi Berasaskan Hak Asasi Manusia

KUALA LUMPUR (18 OGOS 2026) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung hasrat Kerajaan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU). Langkah ini merupakan satu perkembangan penting ke arah mewujudkan persekitaran pendidikan tinggi yang menjunjung kebebasan akademik, autonomi institusi, kebebasan bersuara dan berpersatuan, serta penyertaan pelajar yang bermakna.

SUHAKAM recalls that concerns over restrictions imposed by AUKU are longstanding. In Muhammad Hilman Idham & Ors v Kerajaan Malaysia & OrsSUHAKAM menegaskan bahawa kebimbangan terhadap sekatan yang dikenakan di bawah AUKU bukanlah perkara baharu, sebagaimana yang dibuktikan dalam kes Muhammad Hilman Idham & Ors v Kerajaan Malaysia & Ors. Dalam kes tersebut, Mahkamah Rayuan melalui keputusan majoriti memutuskan bahawa Seksyen 15(5)(a) AUKU pada ketika itu, yang menyekat pelajar daripada menyatakan sokongan atau bantahan terhadap parti politik, adalah tidak berperlembagaan. Mahkamah menegaskan bahawa sekatan terhadap kebebasan bersuara seharusnya munasabah dan dapat dijustifikasikan di bawah Perkara 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, serta mendapati bahawa tiada kaitan yang mencukupi antara penyataan sokongan atau bantahan politik oleh seseorang pelajar universiti dengan keperluan untuk melindungi ketenteraman awam atau moral.

Keputusan tersebut mempunyai implikasi yang lebih luas. Ia menegaskan bahawa pelajar berhak untuk hak perlembagaan mereka di institusi pengajian tinggi, dan sebarang sekatan terhadap hak tersebut mestilah munasabah, berasas dan tidak sewenang-wenangnya dikenakan. Universiti seharusnya menjadi ruang yang menggalakkan pemikiran kritis, pemikiran bebas dan penyertaan yang bertanggungjawab dalam kehidupan awam. Seperti yang dinyatakan oleh Hakim Hishamudin Yunus ketika menyampaikan penghakiman Mahkamah Rayuan, “Universiti seharusnya menjadi medan untuk melahirkan pencetus perubahan dan pemikir, bukannya institusi yang melatih pelajar menjadi seperti robot”.

SUHAKAM berpandangan bahawa cadangan pemansuhan AUKU bukan sekadar mengenai pemansuhan sesuatu undang-undang. Ia merupakan peluang untuk membentuk semula hubungan antara Negara, universiti, ahli akademik dan pelajar dengan memperkukuh kebebasan institusi, di samping memastikan ketelusan dan akauntabiliti. Memandangkan AUKU memainkan peranan dalam penubuhan, perlembagaan dan struktur tadbir urus universiti awam, pemansuhan tersebut perlu disusuli dengan mekanisme peralihan yang jelas bagi memastikan pentadbiran universiti terus berjalan dengan lancar, tanpa mengekalkan atau memperkenalkan semula peruntukan yang boleh mengehadkan kebebasan asasi secara tidak wajar.

SUHAKAM mengambil maklum jaminan Perdana Menteri bahawa kerangka baharu pendidikan tinggi tidak akan mengembalikan sekatan terhadap kebebasan pelajar. Dalam hal ini, sebarang kerangka baharu atau pindaan kepada kerangka sedia ada hendaklah berteraskan prinsip hak asasi manusia dan dibangunkan secara inklusif melalui konsultasi bermakna dengan pelajar, ahli akademik, kepimpinan universiti, masyarakat sivil serta pihak berkepentingan yang berkaitan. Kerangka tersebut juga hendaklah melangkaui aspek penyertaan politik pelajar dengan melindungi kebebasan ahli akademik dan penyelidik untuk mengajar, menjalankan penyelidikan, menerbitkan hasil kajian, berkongsi pandangan dan terlibat dalam wacana awam tanpa campur tangan yang tidak wajar atau rasa bimbang terhadap sebarang tekanan. Pada masa yang sama, kebebasan pelajar untuk menyuarakan pandangan, berpersatuan dan berhimpun secara aman hendaklah dihormati dan dilindungi. Sebarang sekatan terhadap kebebasan tersebut mestilah berasaskan undang-undang, mempunyai keperluan yang jelas dan tidak berlebihan.

Autonomi institusi hendaklah diperkukuh melalui tadbir urus yang telus dan bertanggungjawab dalam pengurusan sumber awam, serta jaminan bahawa hal ehwal akademik tidak dipengaruhi oleh campur tangan yang tidak wajar. Selepas lebih lima dekad pelaksanaan AUKU, pemansuhannya perlu membawa perubahan yang nyata dan bermakna kepada sistem pendidikan tinggi Malaysia. Universiti perlu menjadi ruang yang terbuka untuk perbezaan pandangan, pertukaran idea dan perbahasan secara bebas, serta membolehkan pelajar membina pemikiran kritis dan memainkan peranan yang bermakna dalam masyarakat.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
18 Ogos 2026

2

[OCC] Kenyataan Media No. 49-2026_OCC Gesa Langkah Perlindungan Kanak-Kanak Yang Lebih Kukuh Di Semua Institusi Pendidikan_amended

KUALA LUMPUR (14 Ogos 2026) Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), memandang serius kejadian melibatkan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang didakwa dibuli oleh pelajar lebih berusia di sebuah sekolah tahfiz di Kedah. Keadaan ini amat membimbangkan memandangkan kanak-kanak tersebut dilaporkan mengalami kecederaan fizikal dan trauma psikologi serta kini berasa takut untuk kembali ke sekolah.

Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk belajar dan membesar dalam persekitaran yang selamat, menyokong dan bermaruah, bebas daripada keganasan, penderaan, intimidasi dan buli. Perkara ini selaras dengan Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), yang menghendaki kanak-kanak dilindungi daripada segala bentuk keganasan fizikal atau mental serta menegaskan bahawa kepentingan terbaik kanak-kanak hendaklah menjadi pertimbangan utama dalam semua tindakan yang melibatkan mereka. Semua institusi pendidikan tidak kira sekolah kerajaan, sekolah tahfiz, sekolah agama termasuk semua institusi pendidikan swastamempunyai tanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan kebajikan kanak-kanak yang berada di bawah jagaan mereka

OCC menyeru setiap institusi pendidikan untuk mewujudkan dan melaksana mekanisme perlindungan kanak-kanak dan pencegahan buli yang komprehensif. Mekanisme ini hendaklah merangkumi prosedur yang jelas bagi mencegah, melapor, menyiasat dan mengambil tindakan terhadap insiden, pengawasan yang mencukupi khususnya dalam persekitaran berasrama, saluran pelaporan yang sulit dan mesra kanak-kanak, pemakluman segera kepada ibu bapa atau penjaga, serta akses kepada rawatan perubatan, kaunseling dan sokongan psikososial yang tepat pada masanya. Guru, warden dan kakitangan lain hendaklah melalui proses saringan yang sewajarnya serta diberikan latihan dan pengetahuan yang mencukupi untuk mengenal pasti tanda-tanda buli, penderaan atau tekanan emosi dan mengambil tindakan tanpa kelewatan. Institusi juga hendaklah menyelenggara rekod yang sewajarnya berhubung insiden yang dilaporkan serta bekerjasama sepenuhnya dengan ibu bapa, agensi penguatkuasaan, pihak berkuasa perlindungan kanak-kanak dan pihak berkuasa kawal selia yang berkaitan.

Keselamatan kanak-kanak tidak boleh bergantung semata-mata kepada kanak-kanak untuk berani mendedahkan apa yang telah berlaku kepadanya. Institusi mesti mempunyai sistem yang proaktif untuk mengenal pasti risiko, mengesan tanda-tanda awal dan mengambil tindakan sebelum keadaan menjadi lebih serius. Sebarang tindakan susulan hendaklah mengutamakan kepentingan terbaik, keselamatan, pemulihan dan kelangsungan pendidikan kanak-kanak yang terjejas. Tiada kanak-kanak sepatutnya berdepan tindakan balas, stigma atau sebarang bentuk kerugian atau diskriminasi kerana melaporkan kejadian buli.

OCC turut mengingatkan ibu bapa dan penjaga bahawa Akta Tribunal Antibuli 2026 telah mula berkuat kuasa pada 16 Jun 2026. Insiden yang berlaku pada atau selepas tarikh tersebut boleh dilaporkan melalui mekanisme yang diperuntukkan di bawah Akta berkenaan. Bagi sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), aduan boleh dikemukakan kepada pihak sekolah untuk tindakan melalui jawatankuasa antibuli di peringkat sekolah. Sekiranya sekolah atau institusi pendidikan berkenaan tidak berdaftar di bawah KPM, termasuk institusi swasta atau agama yang berkaitan, ibu bapa atau penjaga boleh mengemukakan aduan secara terus kepada Tribunal Antibuli.

Tribunal menyediakan mekanisme penyelesaian dan pemulihan yang berbeza daripada proses keadilan jenayah dan ia bergantung kepada keadaan sesuatu kes, Tribunal boleh memerintahkan bentuk remedi seperti permohonan maaf, kaunseling, pampasan atau pembayaran balik perbelanjaan munasabah yang timbul akibat insiden tersebut, termasuk kos perubatan. Sekiranya perlakuan yang didakwa berkemungkinan merupakan suatu kesalahan jenayah, khususnya apabila melibatkan serangan fizikal, kecederaan serius, ugutan atau risiko segera terhadap keselamatan kanak-kanak, laporan polis hendaklah turut dibuat. Penggunaan mekanisme Tribunal tidak menggantikan atau menghalang siasatan jenayah oleh pihak polis.

OCC menggesa Kerajaan dan pihak berkuasa yang berkaitan untuk memastikan ibu bapa, penjaga, kanak-kanak dan institusi pendidikan menerima maklumat yang jelas dan mudah diakses mengenai saluran pelaporan yang tersedia. Tiada aduan seharusnya dilengahkan atau dibiarkan tanpa tindakan. Pihak berkuasa yang berkaitan hendaklah menjalankan siasatan yang segera dan menyeluruh terhadap kejadian yang dilaporkan serta memastikan kanak-kanak yang terjejas menerima perlindungan dan sokongan yang sewajarnya. Identiti dan privasi kanak-kanak hendaklah dilindungi sepanjang proses tersebut.

Insiden ini harus menjadi peringatan yang jelas kepada setiap institusi yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga dan mendidik kanak-kanak bahawa perlindungan kanak-kanak merupakan suatu kewajipan asas dan bukannya pilihan pentadbiran. OCC menggesa pihak berkuasa yang berkaitan untuk memastikan standard perlindungan kanak-kanak dan pencegahan buli yang mengikat serta dikuatkuasakan secara konsisten terpakai di semua persekitaran pendidikan, termasuk institusi swasta dan agama. Tiada institusi seharusnya dibenarkan beroperasi tanpa sistem yang berkesan untuk melindungi keselamatan, kebajikan dan maruah setiap kanak-kanak.

-TAMAT-

Pesuruhjaya Kanak-Kanak
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

14 August 2026

job vacancy 1

IKLAN TAWARAN SEBUT HARGA PERKHIDMATAN MEREKA BENTUK, MENCETAK DAN MEMBEKAL LAPORAN TAHUNAN SUHAKAM 2025 DALAM BAHASA MALAYSIA DAN BAHASA INGGERIS

Tawaran adalah dipelawa daripada syarikat-syarikat tempatan yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia di bawah kod bidang 221601 hingga 221615 bagi menyertai sebut harga berikut:

NO. SEBUT HARGA: SHM.001/1/18 Jilid 5 (8)

TAJUK SEBUT HARGA: Sebut Harga Bagi Perkhidmatan Mereka Bentuk, Mencetak Dan Membekal Laporan Tahunan 2025 Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris

TARIKH IKLAN: 11 Ogos 2026

TARIKH KEMUKAKAN SEBUT HARGA: 24 Ogos 2026 (sebelum 12.00 tengah hari)

JUMLAH CETAKAN:
i) Bahasa Malaysia : 550 naskah
ii) Bahasa Inggeris : 200 naskah

Syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :
a) En. Syamsul Azhar Bin Zamani (syamsul@suhakam.org.my) 03-2612 5615 / urusan teknikal laporan tahunan
b) En. Ahmad Firdaus Bin Abd. Shukor (firdaus@suhakam.org.my) 03-2612 5650 / urusan Perolehan

Maklumat lanjut:

E1

Kenyataan Media No. 48-2026_SUHAKAM Mengulangi Seruan Menegakkan Kebenaran, Akauntabiliti dan Keadilan Dalam Kes Kehilangan Paksa Pastor Raymond Koh

KUALA LUMPUR (4 OGOS 2026) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) amat bimbang atas keputusan Mahkamah Rayuan untuk mengekalkan penangguhan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi berkaitan siasatan kehilangan paksa Pastor Raymond Koh yang akan menjurus kepada terhalangnya usaha untuk menegakkan kebenaran dan memastikan akauntabiliti. Keputusan tersebut turut mengekalkan penangguhan pelaksanaan pembayaran ganti rugi yang telah diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi.

Walaupun SUHAKAM menghormati sepenuhnya kebebasan badan kehakiman serta proses perundangan, Suruhanjaya amat bimbang bahawa kelewatan berterusan dalam melaksanakan perintah Mahkamah Tinggi hanya akan menyulitkan lagi usaha mencari kebenaran dan keadilan bagi kes yang masih belum diselesaikan selepas lebih sembilan tahun.

Melalui Siasatan Awam bersejarah yang dijalankan pada tahun 2019, SUHAKAM telah membuat kesimpulan bahawa Pastor Raymond Koh merupakan mangsa kehilangan paksa yang dilakukan oleh ejen Negara. Pada November 2025, Mahkamah Tinggi turut memutuskan bahawa Kerajaan dan pihak polis bertanggungjawab terhadap kehilangan paksa beliau serta memerintahkan antaranya, supaya siasatan dibuka semula. Dapatan tersebut merupakan satu langkah penting ke arah memastikan akauntabiliti serta memberi harapan baharu kepada keluarga bahawa kebenaran akhirnya akan terbongkar.

Semakin lama kes ini berlarutan, semakin tinggi risiko untuk bukti menjadi rosak atau hilang, saksi tidak lagi dapat dikesan dan peluang untuk menjalankan siasatan secara berkesan akan terlepas buat selama-lamanya. Kelewatan dalam kes-kes yang melibatkan dakwaan kehilangan paksa bukan sahaja menjejaskan keberkesanan siasatan, malah memanjangkan penderitaan keluarga yang telah bertahun-tahun hidup dalam ketidakpastian mengenai nasib serta keberadaan insan yang mereka kasihi.

Kehilangan paksa merupakan pencabulan hak asasi manusia yang paling serius dan menjejaskan pelbagai hak, termasuk hak untuk hidup, kebebasan, keselamatan diri, pengiktirafan di sisi undang-undang serta hak untuk mendapatkan pembelaan yang berkesan. Ketidakpastian yang berterusan mengenai nasib mangsa yang hilang turut menyebabkan penderitaan psikologi yang berpanjangan kepada ahli keluarga, yang turut diiktiraf sebagai mangsa di bawah piawaian hak asasi manusia antarabangsa.

SUHAKAM sekali lagi menegaskan bahawa siasatan terhadap dakwaan kehilangan paksa hendaklah dijalankan dengan segera, menyeluruh, bebas, tidak berat sebelah dan berkesan. Akauntabiliti amat penting bukan sahaja untuk memberikan keadilan kepada mangsa dan keluarga mereka, malah bagi mengekalkan keyakinan awam terhadap kedaulatan undang-undang serta memastikan pencabulan sedemikian tidak berulang. SUHAKAM turut mengulangi gesaannya agar Malaysia meratifikasi Konvensyen Antarabangsa bagi Perlindungan Semua Orang daripada Kehilangan Paksa (ICPPED) serta menjadikan kehilangan paksa sebagai suatu kesalahan jenayah yang khusus di bawah undang-undang domestik. Langkah-langkah ini akan memperkukuh kerangka perundangan Malaysia dalam mencegah kehilangan paksa, memastikan akauntabiliti, serta menyediakan mekanisme pemulihan yang berkesan kepada mangsa dan keluarga mereka.

SUHAKAM berdiri teguh bersama keluarga Pastor Raymond Koh dalam usaha berterusan mereka untuk menegakkan kebenaran dan mendapatkan keadilan. Kami kekal komited dalam memperjuangkan akauntabiliti, ketelusan dan penghormatan terhadap hak asasi manusia, serta berharap proses perundangan akan dapat merungkai kebenaran mengenai kehilangan Pastor Raymond Koh dan memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
4 Ogos 2026

E1

Kenyataan Media No. 47-2026_SUHAKAM Bimbang Siasatan Terhadap Pembela Hak Asasi Alam Sekitar serta Menyeru Pendekatan Berasaskan Hak Asasi dalam Kebebasan Bersuara dan Keadilan Alam Sekitar

KUALA LUMPUR (1 OGOS 2026) – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menzahirkan kebimbangan terhadap siasatan polis yang melibatkan aktivis alam sekitar, Shakila Zen, yang dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung satu hantaran di media sosial yang didakwa mengaitkan institusi diraja Pahang dengan aktiviti perlombongan pasir.

Menurut laporan, siasatan tersebut dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM). SUHAKAM memperakui peranan sah pihak berkuasa dalam menyiasat dakwaan kesalahan namun begitu, sebarang tindakan yang diambil hendaklah dilaksanakan secara perlu, berkadaran dan selaras dengan tanggungjawab Malaysia untuk menghormati serta melindungi hak asasi manusia, khususnya hak kepada kebebasan bersuara.

Kebebasan bersuara dijamin di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan serta diiktiraf di bawah Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) dan Perkara 19 Kovenan Antarabangsa Mengenai Hak-Hak Sivil dan Politik (ICCPR). Walaupun Malaysia masih belum menjadi Negara Pihak kepada ICCPR, Perkara 19 mencerminkan piawaian antarabangsa yang diiktiraf berhubung kebebasan bersuara. Meskipun hak ini boleh tertakluk kepada sekatan yang dibenarkan oleh undang-undang, sekatan tersebut hendaklah memenuhi prinsip keperluan dan perkadaran serta tidak menghalang wacana awam yang sah mengenai perkara-perkara berkepentingan awam.

Pejuang hak alam sekitar memainkan peranan penting dalam memperkukuh ketelusan, akauntabiliti dan penyertaan awam dalam tadbir urus alam sekitar. Dengan mengetengahkan risiko alam sekitar serta kesan pembangunan terhadap komuniti yang terjejas, mereka menyumbang kepada wacana awam yang lebih bermaklumat serta memperkukuh tadbir urus alam sekitar melalui penelitian dan akauntabiliti yang lebih berkesan. Peranan ini selaras dengan Pelan Tindakan Kebangsaan Mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (NAPBHR) Malaysia yang menekankan ketelusan, penglibatan bermakna pihak berkepentingan serta perlindungan hak alam sekitar bagi memastikan pembangunan dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mampan. Oleh itu, individu yang memperjuangkan perlindungan alam sekitar hendaklah dapat menjalankan peranan mereka secara bebas dan selamat tanpa rasa takut terhadap ugutan, gangguan atau tindakan balas.

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), melalui Resolusi 76/300, telah mengiktiraf hak kepada alam sekitar yang bersih, sihat dan mampan sebagai hak asasi manusia sejagat. Hak ini turut ditegaskan di peringkat serantau menerusi Deklarasi ASEAN mengenai Hak kepada Alam Sekitar yang Selamat, Bersih, Sihat dan Mampan, yang mencerminkan komitmen Negara-Negara Anggota ASEAN terhadap perlindungan alam sekitar dan pemenuhan hak-hak berkaitan alam sekitar. Penikmatan hak ini secara berkesan bergantung kepada perlindungan hak-hak prosedural berkaitan alam sekitar, termasuk akses kepada maklumat, penyertaan awam, akses kepada keadilan serta kebebasan untuk menyuarakan kebimbangan berkaitan isu-isu alam sekitar.

SUHAKAM turut mengambil maklum dengan kebimbangan terhadap laporan bahawa Shakila Zen sebelum ini pernah berdepan ugutan dan gangguan susulan usaha advokasinya. Pejuang hak asasi manusia hendaklah diberikan perlindungan yang berkesan daripada ugutan, keganasan dan sebarang bentuk tindakan balas yang timbul akibat pelaksanaan hak mereka secara aman. Selaras dengan Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pembela Hak Asasi Manusia, Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk memastikan individu dan organisasi dapat mempromosi serta melindungi hak asasi manusia dalam persekitaran yang selamat dan kondusif. Ini termasuk menjamin hak kepada kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun secara aman dan penyertaan dalam hal ehwal awam, khususnya berhubung isu-isu yang memberi kesan kepada alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.

Sehubungan itu, SUHAKAM menyeru pihak berkuasa yang berkaitan supaya memastikan sebarang siasatan dijalankan secara adil, bebas dan selaras dengan prinsip keperluan, perkadaran serta proses sewajarnya. Suruhanjaya turut menggesa agar undang-undang tidak digunakan dengan cara yang mewujudkan kesan ketakutan terhadap advokasi alam sekitar yang sah atau menghalang penyertaan awam dalam perkara-perkara berkaitan perlindungan alam sekitar dan pembangunan mampan.

SUHAKAM kekal komited untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia untuk semua serta menegaskan bahawa perlindungan terhadap pembela alam sekitar dan pemeliharaan ruang sivik merupakan prasyarat penting bagi memperkukuh keadilan alam sekitar, mencapai pembangunan mampan serta memastikan setiap individu dapat menikmati hak kepada alam sekitar yang bersih, sihat dan mampan.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
1 Ogos 2026