E1

Kenyataan Media No. 30-2026_Keputusan Akhir - Inkuiri Awam ke atas Pelanggaran Hak Asasi Manusia Semasa dan Selepas Insiden pada 17 Januari 2025 di Penjara Taiping, Perak

KUALA LUMPUR (25 MEI 2026) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) telah menjalankan Inkuiri Awam ke atas Pelanggaran Hak Asasi Manusia Semasa dan Selepas Insiden pada 17 Januari 2025 di Penjara Taiping, Perak. Sesi Inkuiri Awam ini diadakan berikutan aduan yang diterima oleh SUHAKAM pada 3 Februari 2025 daripada ahli keluarga Tahanan Mahkamah Tinggi (“TMT”).

Aduan tersebut mendakwa bahawa sekumpulan TMT telah menjadi mangsa pelanggaran hak asasi manusia di Penjara Taiping, Perak. Melalui aduan tersebut, terdapat beberapa dakwaan pelanggaraan hak asasi manusia yang dikemukakan untuk perhatian SUHAKAM, antaranya adalah:
i. Satu insiden rusuhan yang melibatkan penggunaan kekerasan telah dilakukan oleh kakitangan Penjara Taiping terhadap kira-kira 80 hingga 100 orang TMT sehingga menyebabkan kecederaan;
ii. Kejadian tersebut juga menyebabkan kematian seorang TMT yang bernama Gan Chin Eng.

Susulan itu, SUHAKAM telah mengadakan Inkuiri Awam berhubung insiden yang berlaku pada 17 Januari 2025 di Penjara Taiping. Prosiding Inkuiri Awam ini telah bermula pada 9 Jun 2025 yang berlangsung selama 3 bulan 2 minggu dan prosiding terakhir (hujahan lisan) telah diadakan pada 15 Disember 2025. Seramai 50 orang saksi telah memberi keterangan dan sebanyak 127 ekshibit telah dikemukakan semasa prosiding tersebut.

Hasil daripada Inkuiri Awam tersebut, Panel Inkuiri telah mengesahkan bahawa berlakunya pelanggaran hak asasi manusia terhadap TMT semasa dan selepas insiden pada 17 Januari 2025 di Penjara Taiping, Perak seperti berikut:
i. Kekerasan fizikal yang melampau dilakukan oleh sebilangan besar kakitangan penjara terhadap TMT semasa operasi pemindahan dari Dewan B ke Blok E pada 17 Januari 2025;
ii. Kakitangan penjara telah menyalah gunakan senjata dan peralatan keselamatan seperti cota dan semburan lada;
iii. Kecuaian dan ketidak cekapan pegawai atasan Penjara Taiping;
iv. Masalah kesesakan yang serius di Penjara Taiping;
v. Tempoh penahanan banduan reman yang lama;
vi. Kekangan peruntukan kewangan daripada Kerajaan;
vii. Kecuaian dan kegagalan dalam pemberian rawatan perubatan kepada TMT yang mengalami kecederaan;
viii. Terdapat unsur penipuan berkenaan dokumentasi rekod perubatan;
ix. TMT menerima layanan yang tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah susulan insiden pada 17 Januari 2025;
x. Laporan polis yang dibuat terhadap TMT mengandungi maklumat palsu;
xi. PDRM gagal menjalankan siasatan yang berasingan terhadap tindakan kekerasan oleh kakitangan penjara ke atas TMT; dan
xii. Kelewatan yang signifikan oleh pihak Jabatan Peguam Negara dalam membuat penelitian terhadap kertas siasatan PDRM dan membuat pertuduhan di Mahkamah.

Sehubungan itu, Panel Inkuiri Awam telah mengemukakan syor-syor seperti berikut:
a) Tindakan tatatertib terhadap pengurusan dan kakitangan Penjara Taiping;
b) PDRM menjalankan siasatan secara berasingan berkenaan tindakan kekerasan oleh kakitangan penjara terhadap TMT;
c) Menjalankan kajian yang mendalam mengenai alternatif kepada reman dan pemenjaraan bagi menangani masalah kesesakan di penjara;
d) Menghapuskan amalan penggunaan bucket system di Penjara Taiping serta di semua institusi penjara;
e) Menyediakan latihan secara berkala dan komprehensif kepada semua kakitangan Penjara Taiping;
f) Keperluan asas tahanan perlu dipenuhi secara konsisten
g) Kemudahan perubatan dan kesihatan di institusi penjara dipertingkatkan
h) Penjara Taiping di tapak sedia ada dikaji semula dengan mengambil kira pewartaan Penjara Taiping sebagai Bangunan Warisan
i) Kerajaan Malaysia meratifikasikan Konvensyen Menentang Penyeksaan dan Layanan atau Hukuman Lain yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan atau Menjatuhkan Maruah (UNCAT)

Laporan penuh Inkuri Awam ini boleh diakses di
https://suhakam.org.my/publications/national-public-inquiry-reports/

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
25 Mei 2026

2

Kenyataan Media No. 29-2026_SUHAKAM Seru Kesaksamaan Aksesibiliti Dan Inklusiviti Digital Yang Lebih Menyeluruh Sempena Hari Kesedaran Aksesibiliti Global 2026

KUALA LUMPUR (21 MEI 2026) Sempena Hari Kesedaran Aksesibiliti Global (Global Accessibility Awareness Day – GAAD) 2026, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menekankan akan kepentingan untuk memastikan akses yang sama rata kepada ruang digital, maklumat dan teknologi untuk semua individu, khususnya orang kelainan upaya (OKU).

GAAD disambut setiap tahun pada hari Khamis ketiga bulan Mei, GAAD menjadi peringatan global mengenai keperluan untuk memperkukuh aksesibiliti dan keterangkuman dalam persekitaran digital. Dalam memperluas ekosistem digitalnya, Malaysia harus memastikan aksesibiliti menjadi pertimbangan asas hak asasi manusia dan bukan sesuatu yang difikirkan kemudian hari.

Akses kepada maklumat, komunikasi, pendidikan, pekerjaan, perkhidmatan awam serta penyertaan dalam kehidupan awam kini semakin bergantung kepada platform dan teknologi digital. Namun begitu, orang kurang upaya masih berdepan pelbagai halangan kerana laman sesawang, aplikasi mudah alih, perkhidmatan dalam talian dan sistem komunikasi tidak mesra untuk diakses oleh mereka. SUHAKAM menegaskan bahawa aksesibiliti digital berkait rapat dengan prinsip kesaksamaan, maruah, tanpa diskriminasi dan penyertaan bermakna sebagaimana yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan bahkan diperkukuhkan melalui komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD).

Sehubungan itu, SUHAKAM menyeru untuk:

Agensi kerajaan memperkukuh tadbir urus digital yang inklusif dan memastikan semua platform digital awam mematuhi piawaian aksesibiliti sejagat.

ii. Sektor swasta, industri pembangun teknologi dan penyedia perkhidmatan mengintegrasikan ciri-ciri aksesibiliti dalam reka bentuk dan pembangunan produk serta perkhidmatan. Digital.

iii. Institusi pendidikan dan tempat kerja mempromosikan keterangkuman digital serta persekitaranpembelajaran dan pekerjaan yang boleh diakses.

iv. Masyarakat secara keseluruhannya memupuk kesedaran, empati dan kefahaman yang lebih mendalam terhadap pengalaman hidup orang kurang upaya.

SUHAKAM turut menggalakkan kerjasama yang lebih kukuh antara pembuat dasar, organisasi masyarakat sivil, pejuang hak OKU dan pihak industri dalam membangunkan ekosistem digital yang tidak meminggirkan sesiapa.

Persekitaran digital yang inklusif dan mudah diakses adalah penting ke arah sebuah masyarakat yang adil, saksama dan berteraskan hak asasi manusia. Dalam mendepani kemajuan teknologi, Malaysia harus memastikan semua individu, tanpa mengira keupayaan mendapat penyertaan sepenuhnya dan sama rata dalam era digital.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

21 Mei 2026

E1

Kenyataan Media No. 28-2026_Memperkasa Komuniti Orang Asal Melalui Pembangunan Berteraskan Hak Asasi Manusia

KUALA LUMPUR (15 MEI 2026) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) telah menganjurkan Forum Hak Orang Asal Sabah dan Sarawak pada 6 Mei 2026 di Kota Kinabalu, Sabah, dengan sokongan daripada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR).

Bertemakan “Memperkasa Hak Masyarakat Orang Asal, Memperkukuh Komuniti, dan Membentuk Amalan Perniagaan Berasaskan Hak Asasi Manusia”, forum tersebut telah menghimpunkan kira-kira 200 peserta secara fizikal dan dalam talian dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Peserta terdiri daripada wakil agensi kerajaan, pemimpin dan komuniti Orang Asal, pertubuhan masyarakat sivil, ahli akademik, belia dan wanita Orang Asal, serta wakil sektor perniagaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Forum tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi SUHAKAM, Dato’ Seri Mohd Hishamudin Yunus, dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan pengiktirafan dan perlindungan hak Orang Asal, di samping memastikan pembangunan negara dilaksanakan secara inklusif, saksama dan berteraskan hak asasi manusia. Turut hadir ialah Yang Berhormat Datuk Dr. Maijol Mahap, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.

Sebagai kesinambungan kepada Inkuiri Nasional SUHAKAM mengenai Hak Tanah Orang Asal yang dijalankan antara tahun 2010 hingga 2012, forum ini menjadi platform penting dalam memperkukuh suara, penyertaan dan hak Orang Asal dalam agenda pembangunan negara. Perbincangan memfokuskan kepada hak tanah adat, pemeliharaan budaya dan identiti, serta kesejahteraan keseluruhan komuniti Orang Asal. Forum ini turut menegaskan bahawa pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara perlu dilaksanakan secara inklusif, adil dan berlandaskan prinsip hak asasi manusia. Prinsip Persetujuan Awal, Bebas dan Dimaklumkan (Free, Prior and Informed Consent - FPIC), sebagaimana termaktub dalam Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Asal (UNDRIP) telah ditekankan sebagai perlindungan asas bagi memastikan hak dan kepentingan Orang Asal dihormati dalam semua inisiatif pembangunan.

Sesi plenari pertama memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh penyertaan Orang Asal dalam pembangunan mampan dan diterajui komuniti, termasuk cabaran dalam memastikan penglibatan yang benar-benar bermakna dalam proses membuat keputusan. Sesi plenari kedua meneliti budaya, bahasa dan identiti Orang Asal dalam konteks negara bangsa moden, dengan menekankan kepentingan memelihara warisan budaya sebagai sebahagian penting daripada identiti dan kelangsungan komuniti. Sementara itu, sesi plenari ketiga menekankan kepentingan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan dalam memajukan hak Orang Asal secara kolektif, khususnya melalui peranan institusi kerajaan, masyarakat sivil dan sektor berkaitan.

Forum turut menekankan tanggungjawab bersama semua pihak berkepentingan dalam mempromosikan amalan perniagaan yang mampan dan bertanggungjawab selaras dengan Pelan Tindakan Kebangsaan Malaysia Mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (NAPBHR) 2025–2030. Penekanan ini juga turut disampaikan melalui rakaman klip ucapan ringkas oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar & Pembangunan), Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang(BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, Dato Dr. Punitha Silivarajoo.

Ucapan penutup telah disampaikan oleh Naib Pengerusi SUHAKAM, Datuk Mariati Robert, yang menegaskan bahawa forum ini mencerminkan komitmen berterusan SUHAKAM sebagai institusi hak asasi manusia kebangsaan yang berpandukan Prinsip-prinsip Paris, iaitu piawaian antarabangsa yang menekankan peranan institusi hak asasi manusia kebangsaan dalam mempromosi, melindungi dan memperjuangkan hak asasi manusia secara bebas, telus dan berkesan.

SUHAKAM berharap forum ini dapat menjadi pemangkin kepada kerjasama strategik yang lebih kukuh antara semua pihak berkepentingan dalam merealisasikan aspirasi forum iaitu “Memperkasa Hak Masyarakat Orang Asal, Memperkukuh Komuniti, dan Membentuk Amalan Perniagaan Berasaskan Hak Asasi Manusia”.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
15 Mei 2026

E1

Kenyataan Media No. 27-2026_Memperkukuh Perpaduan Nasional Melalui Kepimpinan Bertanggungjawab Dan Wacana Awam Yang Berhemah

KUALA LUMPUR (13 MAY 2026) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus menjunjung nilai saling menghormati, maruah, dan nilai keterangkuman dalam memelihara perpaduan nasional serta keharmonian sosial. Kepelbagaian kaum yang dimiliki Malaysia sejak sekian lama menjadi asas kekuatan negara. Masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama mencerminkan prinsip-prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk jaminan kesaksamaan dan larangan diskriminasi di bawah Perkara 8 tanpa mengira agama, kaum, keturunan, atau latar belakang, serta perlindungan terhadap kebebasan bersuara dan maruah setiap insan. Namun begitu, sejak kebelakangan ini, naratif awam semakin dicemari dengan permusuhan berasaskan kaum, retorik berunsur hasutan, dan naratif yang memecah belah masyarakat, khususnya di media sosial dan dalam ruang lingkup politik.

Dalam kita memperingati peristiwa tragis 13 Mei 1969, SUHAKAM menegaskan bahawa pengajaran daripada sejarah seharusnya membimbing negara ke arah kefahaman dan perpaduan yang lebih kukuh, bukannya ketakutan, perpecahan, atau manipulasi politik. Peristiwa ini tidak seharusnya digunakan untuk membenarkan sikap tidak bertoleransi, menutup ruang perbincangan yang sah, atau menyemarakkan kebencian kaum.

Kebebasan bersuara merupakan hak asasi yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan serta diiktiraf dalam piawaian hak asasi manusia antarabangsa. Namun, hak ini turut datang bersama tanggungjawab. Sebarang bentuk ucapan atau ekspresi yang menghasut diskriminasi, permusuhan, atau keganasan terhadap individu atau kumpulan berdasarkan kaum, agama, etnik, atau ciri-ciri lain yang dilindungi akan menjejaskan keharmonian sosial dan mengancam nilai demokrasi.

SUHAKAM menekankan bahawa usaha menangani ucapan kebencian dan perkauman harus berteraskan prinsip hak asasi manusia, termasuk aspek perundangan, keperluan, kesepadanan, dan akauntabiliti. Dalam mengambil tindakan undang-undang, pihak berkuasa perlu membezakan secara jelas antara kritikan yang sah, perbahasan awam, dan advokasi di satu pihak, dengan hasutan sebenar kepada keganasan atau diskriminasi di pihak yang lain.

SUHAKAM menegaskan bahawa wakil rakyat dan pemimpin politik turut memikul tanggungjawab yang lebih besar untuk menunjukkan teladan yang baik. Sebagai pemimpin yang diberikan kepercayaan oleh rakyat, Ahli-ahli Parlimen seharusnya memupuk penglibatan yang berhemah, menolak provokasi berasaskan kaum atau agama, serta mengelakkan kenyataan yang boleh menyemai rasa tidak percaya dan perpecahan dalam masyarakat. Perbezaan politik tidak seharusnya mengorbankan perpaduan nasional atau maruah insan. Institusi awam, parti politik, pertubuhan masyarakat sivil, pengamal media, pendidik, dan pemimpin masyarakat turut memikul tanggungjawab bersama untuk mewujudkan persekitaran yang menggalakkan dialog yang konstruktif, empati, dan persefahaman antara komuniti. Perpaduan nasional tidak boleh dicapai hanya melalui slogan atau langkah penguatkuasaan semata-mata, tetapi memerlukan komitmen berterusan terhadap keadilan, kesaksamaan, dan penghormatan terhadap kepelbagaian.

SUHAKAM menggesa Kerajaan untuk memperkukuh pendidikan hak asasi manusia, inisiatif dialog antara budaya, serta program kesedaran awam yang bertujuan membanteras perkauman, xenophobia dan prejudis dalam apa jua bentuk. Pembinaan sebuah masyarakat yang inklusif memerlukan usaha jangka panjang bagi menangani maklumat palsu, stereotaip, dan naratif berasaskan kebencian sebelum ia berkembang menjadi diskriminasi atau keganasan. Perpaduan nasional harus dibina atas pengiktirafan bahawa setiap individu, tanpa mengira kaum, agama, etnik, atau latar belakang, berhak mendapat maruah, perlindungan, dan penghormatan yang sama rata.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
13 Mei 2026

1

Kenyataan Media No. 26-2026_ Cadangan Pengurangan Peruntukan Kesihatan Serta Pendidikan SUHAKAM Gesa Pendekatan Berasaskan Hak Asasi Dalam Menghadapi Tekanan Ekonomi

KUALA LUMPUR (1 MAY 2026) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menzahirkan kebimbangan serius terhadap kesan berganda cabaran ekonomi semasa ke atas golongan rentan, khususnya wanita, kanak-kanak, dan komuniti berpendapatan rendah, termasuk individu tanpa dokumen, tanpa kerakyatan, serta pelarian, susulan laporan terkini mengenai cadangan pengurangan perbelanjaan awam bagi sektor-sektor kritikal.

Perkembangan mutakhir menunjukkan bahawa Perbendaharaan Malaysia telah mencadangkan pengurangan bajet sebanyak RM5.4 bilion yang melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pendidikan tinggi. Cadangan pengurangan kepada KKM amat membimbangkan memandangkan ia berlaku ketika permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan awam, sokongan pemakanan, dan perkhidmatan sosial asas semakin meningkat, khususnya dalam kalangan mereka yang paling terkesan akibat peningkatan kos sara hidup.

SUHAKAM menegaskan bahawa penguncupan fiskal dalam sektor kesihatan semasa tempoh tekanan ekonomi adalah amat membimbangkan. Bukti di peringkat global menunjukkan bahawa sistem kesihatan sering menjadi antara sektor yang paling terjejas ketika krisis, dengan implikasi jangka panjang terhadap hasil kesihatan awam. Di Malaysia, pengurangan sedemikian berisiko memburukkan lagi jurang sedia ada dari segi akses, kualiti, dan kesaksamaan dalam perkhidmatan kesihatan.

SUHAKAM turut bimbang bahawa pengurangan tersebut, sekiranya dilaksanakan tanpa perlindungan yang mencukupi, berisiko menjejaskan akses kepada perkhidmatan asas yang kritikal bagi perlindungan hak asasi manusia, khususnya dalam bidang kesihatan wanita, perkembangan kanak-kanak, serta kesejahteraan golongan rentan dan terpinggir lain termasuk warga emas, orang kurang upaya, dan isi rumah berpendapatan rendah. Kesukaran ekonomi memberi tekanan tambahan kepada isi rumah dan boleh membawa kepada kesan kesihatan yang negatif, termasuk pengurangan akses kepada makanan berkhasiat, kelewatan mendapatkan rawatan, serta kemerosotan kesihatan fizikal dan mental.

SUHAKAM seterusnya menegaskan bahawa langkah sedemikian boleh dianggap sebagai satu kemunduran regressive step in the realisation of economic, social, and cultural rights.  Malaysia has voluntarily committed to Sustainable Development Goal 3: Good Health and Wellbeing, which aims to ensure healthy lives and promote well-being for all at all ages. In particular, Target 3(c) calls for increased health financing and strengthened health workforce capacity. SUHAKAM notes that both the Ministry of Finance and the Ministry of Economy have identified SDG 3 as a national priority due to its significant social impact. These commitments must be meaningfully upheld. The Government must not regress on the public right to health, a core economic, social and cultural human right. Public right to health is also a constitutional right protected by the Federal Constitution. Any fiscal consolidation measures must be carefully calibrated to avoid undermining equitable access to healthcare and essential support systems.

SUHAKAM mengulangi bahawa hak kepada kesihatan, makanan mencukupi, dan kesejahteraan adalah hak asasi manusia yang paling asas, yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan, serta diperakui dalam obligasi antarabangsa termasuk Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).

Sehubungan itu, SUHAKAM menggesa Kerajaan untuk:

  1. i. Memastikan sebarang langkah konsolidasi fiskal tidak memberi kesan tidak seimbang kepada golongan rentan, khususnya warga emas, wanita, kanak-kanak, dan kumpulan berpendapatan rendah;
  2. ii. Melindungi dan, jika perlu, meningkatkan peruntukan bagi perkhidmatan kesihatan asas selaras dengan komitmen SDG, termasuk kesihatan ibu dan reproduktif, pemakanan kanak-kanak, serta sokongan kesihatan mental;
  3. iii. Memperkukuh sistem kesihatan dan sokongan sosial berasaskan komuniti, khususnya bagi populasi yang kurang mendapat perkhidmatan dan berisiko;
  4. iv. Memperluas bantuan sosial bersasar, termasuk sokongan makanan dan pemakanan kepada keluarga berpendapatan rendah;
  5. v. Mengguna pakai pendekatan berasaskan hak asasi manusia dalam penggubalan bajet, dengan memastikan ketelusan, penyertaan, dan kebertanggungjawaban dalam proses membuat keputusan fiskal.

SUHAKAM menegaskan bahawa respons dasar terhadap tekanan ekonomi tidak boleh mengorbankan golongan paling rentan. Komitmen terhadap pembangunan mampan dan hak asasi manusia harus disertai dengan pilihan dasar yang konkrit. Malaysia bukan sahaja perlu mengutamakan SDG 3 dari segi prinsip, tetapi juga menterjemahkan keutamaan ini dalam amalan. SUHAKAM kekal komited untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan agar dasar pembangunan Malaysia membela maruah insan tanpa meminggirkan sesiapa.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

1 May 2026