KUALA LUMPUR (11 FEBRUARY 2026) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menzahirkan kebimbangan terhadap penahanan seramai 20 individu berhubung tindakan pihak polis berkaitan perhimpunan yang dirancang oleh Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) pada 7 Februari 2026.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menzahirkan kebimbangan terhadap penahanan seramai 20 individu berhubung tindakan pihak polis berkaitan perhimpunan yang dirancang oleh Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) pada 7 Februari 2026.
Perhimpunan aman adalah ruang demokrasi yang sah untuk menyuarakan kebimbangan serta memperjuangkan perubahan, selagi ia dijalankan selaras dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia, termasuk prinsip tanpa diskriminasi, kesaksamaan di sisi undang-undang dan penghormatan terhadap kepelbagaian. Dalam hal ini, piawaian antarabangsa, termasuk Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Perkara 18 Kovenan Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR), melindungi hak untuk menganuti dan mengamalkan agama, termasuk pembinaan dan perlindungan tempat ibadat, serta mewajibkan Negara mencegah diskriminasi secara langsung dan tidak langsung, termasuk apabila serangan terhadap identiti agama memberi kesan yang tidak seimbang terhadap kumpulan etnik atau minoriti. Walaupun kebebasan bersuara secara umumnya dilindungi, sebarang bentuk advokasi yang berbaur hasutan diskriminasi, permusuhan atau keganasan adalah dilarang di bawah undang-undang antarabangsa, khususnya Perkara 19(3) dan Perkara 20(2) ICCPR.
Dalam konteks ini, SUHAKAM menekankan bahawa sebarang dakwaan melibatkan ucapan kebencian, perlakuan perkauman atau hasutan kepada diskriminasi perlu ditangani dengan tegas dan selaras dengan undang-undang, berpandukan proses sewajarnya serta piawaian hak asasi manusia yang terpakai. Kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dijadikan alasan untuk membenarkan tindakan yang menjejaskan hak, keselamatan dan maruah pihak lain.
Pada masa yang sama, SUHAKAM mengambil maklum bahawa Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 meletakkan tanggungjawab kepada pihak berkuasa, termasuk pihak polis, untuk mengurus perhimpunan secara sah, dan memudah cara. Sebarang tindakan penguatkuasaan yang diambil hendaklah berasaskan kuasa undang-undang yang jelas, menghormati proses sewajarnya, serta bersesuaian dengan keadaan.
SUHAKAM sedang memantau dengan teliti perkembangan berkaitan insiden ini, termasuk asas perundangan dan langkah penguatkuasaan yang telah diambil, bagi memastikan kesemua tindakan, sama ada oleh pihak penganjur mahupun pihak berkuasa adalah selaras dengan jaminan Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan undang-undang, (APA 2012), serta obligasi hak asasi manusia antarabangsa Malaysia.
-TAMAT-
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
11 FebruarI 2026
