Kenyataan Media No. 40-2025 (OCC)_Penjelasan Mengenai Undang-undang Rogol Statutori: Melindungi Kanak-kanak daripada Eksploitasi

KUALA LUMPUR (24 September 2025) – Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak (OCC), SUHAKAM ingin memberikan penjelasan kepada orang awam mengenai prinsip undang-undang berkaitan rogol statutori di bawah Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan, khususnya berhubung isu persetujuan (consent) dan perlindungan kanak-kanak.

Undang-undang ini digubal atas asas bahawa kanak-kanak perempuan bawah umur 16 tahun tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk memberikan persetujuan kepada sebarang bentuk hubungan seksual. Ini bermakna, walaupun wujud keadaan yang dilihat sebagai “suka sama suka”, undang-undang tetap menganggap kanak-kanak perempuan sebagai mangsa. Rasionalnya ialah kanak-kanak perempuan masih belum matang dari segi fizikal, mental dan emosi, dan mudah terdedah kepada manipulasi, pujukan atau eksploitasi oleh pihak lain. Berikutan itu, kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa perlu dilindungi oleh undang-undang bagi mengelakkan trauma berganda dan memastikan mereka tidak dipersalahkan atau dihukum. Hukuman dalam kes ini hanya dikenakan kepada pihak lelaki yang melakukan perbuatan tersebut, sama ada lelaki dewasa atau kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.

Bagi pelaku kanak-kanak lelaki, undang-undang membolehkan mereka didakwa, tetapi tertakluk kepada prinsip khas keadilan kanak-kanak. Menurut Seksyen 91 Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611], mahkamah akan mengenakan perintah untuk kanak-kanak yang didapati bersalah seperti penempatan di sekolah diluluskan (Sekolah Tunas Bakti) dan Sekolah Henry Gurney. Pendekatan ini menyeimbangkan prinsip akauntabiliti dengan memberikan peluang kedua kepada kanak-kanak, agar pelaku kanak-kanak tidak dihukum seperti pesalah dewasa tetapi tetap bertanggungjawab dan diberikan pemulihan.

OCC menegaskan bahawa undang-undang rogol statutori bukan untuk menghukum kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa, tetapi untuk melindungi mereka daripada sebarang bentuk eksploitasi dan diskriminasi. Undang-undang ini mencerminkan komitmen Malaysia terhadap kepentingan terbaik kanak-kanak sebagaimana yang digariskan dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak 1989 (CRC) dan Akta 611.

OCC menyeru semua pihak, khususnya agensi penguatkuasa, pendidik dan masyarakat, untuk memahami dan mempertahankan prinsip ini. Melindungi kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama, dan setiap mereka berhak mendapat perlindungan penuh daripada eksploitasi serta peluang untuk membesar dengan selamat dan sihat.

-TAMAT-

Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC)
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 

Tarikh: 24 SEPTEMBER 2025

Tags: No tags

Comments are closed.