KUALA LUMPUR (30 SEPTEMBER 2023) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), World Justice Project dan LexisNexis telah menganjurkan "the Asia Pacific Expert Meeting on Disinformation Regulation and the Free Flow of Information" pada hari ini bertempat di Pusat Timbangtara Antarabangsa Asia Kuala Lumpur.
Mesyuarat ini merupakan satu platform bagi agensi kerajaan, komuniti perniagaan, masyarakat sivil, dan para pemikir berkongsi untuk pengalaman, mengenalpasti cabaran dan bertukar-tukar pendapat dan amalan terbaik yang boleh dilaksanakan berkaitan berita tidak benar dan undang-undang berita palsu. Objektif utama mesyuarat ini adalah:
i. untuk memahami keadaan semasa berkaitan undang-undang maklumat tidak benar di Asia Tenggara serta mengenal pasti isu utama berkaitan dengan maklumat tidak benar;
ii. untuk mengenal pasti serta mempromosi prinsip dan garis panduan utama piawaian antarabangsa dalam menangani isu maklumat tidak benar;
iii. untuk memahami cabaran berkaitan isu maklumat tidak benar, terutamanya dalam konteks pilihan raya;
iv. untuk mengenal pasti amalan terbaik sektor swasta dalam menangani maklumat palsu dan merangka cadangan mengenai peranan yang boleh dan perlu dimainkan oleh syarikat teknologi serantau dan;
v. untuk mengenal pasti pendekatan yang tidak berbentuk peraturan dalam menangani maklumat tidak benar, termasuk usaha ke arah kebebasan media, literasi digital, semakan fakta, dan peranan organisasi masyarakat sivil (CSO).
Kerajaan Malaysia, serta negara ASEAN yang lain telah mengambil pelbagai pendekatan termasuk penyesuaian undang-undang dalam mengawal selia penerbitan pelbagai jenis maklumat tidak benar. Mesyuarat yang dihadiri oleh 40 pakar dari negara Asia Pasifik adalah untuk memberi pemahaman mengenai pendekatan yang diambil; kekurangan dan kejayaan dalam mengawal berita tidak benar. Perbincangan turut merangkumi risiko yang dihadapi jika perundangan yang dilihat mencabar kewibawaan untuk mempersoalkan pihak berkuasa/kerajaan yang berkuasa berkenaan kesahihan berita atau maklumat yang disampaikan.
-TAMAT-
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
Lexis Nexis
World Justice Program