Kenyataan Media No. 66-2026_SUHAKAM Seru Pendekatan Berasaskan Hak bagi Menyokong Kehidupan yang Lebih Panjang dan Bermaruah untuk Warga Emas

KUALA LUMPUR (1 OKTOBER 2026) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memperingati Hari Warga Emas Antarabangsa 2026 yang bertemakan ‘Era Umur Panjang: Memikirkan Semula Sistem untuk Kehidupan yang Lebih Panjang’ (The Age of Longevity: Rethinking Systems for Longer Lives). Tema ini menekankan keperluan untuk menilai semula dasar, institusi dan sistem sejajar dengan peningkatan jangka hayat, serta memastikan warga emas terus menikmati hak mereka dengan bermaruah, saksama dan berdikari.

Malaysia kini berdepan dengan peningkatan jumlah warga emas. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pada tahun 2025, seramai 4.1 juta penduduk atau 12% daripada jumlah penduduk Malaysia berusia 60 tahun dan ke atas, berbanding 3.9 juta atau 11.6% pada tahun 2024. DOSM menjangkakan jumlah ini akan terus meningkat dan Malaysia akan menjadi sebuah negara menua menjelang tahun 2036, apabila lebih 15% penduduknya berusia 60 tahun dan ke atas. Perubahan ini memerlukan Malaysia membuat persediaan yang lebih baik bagi memenuhi keperluan masyarakat yang semakin menua. Dasar, perkhidmatan dan sistem sedia ada juga perlu disesuaikan supaya terus memenuhi keperluan warga emas dan memastikan hak serta kesejahteraan mereka terpelihara.

SUHAKAM menegaskan bahawa persediaan menghadapi masyarakat menua bukan sekadar menyediakan penjagaan dan bantuan kebajikan. Warga emas perlu mempunyai akses yang bermakna kepada jaminan ekonomi, peluang pekerjaan, perkhidmatan kesihatan yang mampu milik dan mudah diakses, perumahan yang mencukupi serta perlindungan sosial. Mereka juga perlu dilindungi daripada penderaan, pengabaian, eksploitasi dan diskriminasi selain daripada akses kepada kemudahan awam dan perkhidmatan yang bersesuaian. Dalam keadaan pendigitalan yang semakin mempengaruhi akses kepada maklumat dan perkhidmatan awam, usaha memperkukuh keterangkuman digital juga perlu dipertingkatkan bagi memastikan warga emas tidak tercicir daripada arus perubahan teknologi.

Warga emas perlu diberi ruang untuk bersuara dan terlibat dalam dasar serta keputusan yang memberi kesan kepada kehidupan mereka. Pengalaman, pengetahuan dan sumbangan mereka perlu dihargai, dan mereka harus terus diberi peluang untuk memainkan peranan dalam keluarga, komuniti dan masyarakat mengikut keupayaan dan pilihan masing-masing. Melindungi hak dan kesejahteraan warga emas juga merupakan sebahagian daripada komitmen hak asasi manusia Malaysia. Ini termasuk syor yang diterima Malaysia melalui Semakan Berkala Sejagat (UPR) kali keempat pada tahun 2024 untuk terus memperkukuh hak, perlindungan dan kesejahteraan warga emas.

SUHAKAM terus memberi perhatian kepada hak warga emas melalui penganjuran pelbagai forum dan sesi libat urus, khususnya dalam isu seperti perlindungan sosial, penjagaan kesihatan, perumahan, pekerjaan dan kesejahteraan. Perbincangan ini turut memberi tumpuan kepada persediaan Malaysia dalam menghadapi peningkatan jumlah warga emas serta memastikan keperluan dan hak mereka diberi perhatian di peringkat kebangsaan dan negeri. Di peringkat serantau, SUHAKAM sebagai Pengerusi Forum Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan Asia Tenggara (SEANF) bagi tahun 2026 turut mengetengahkan hak warga emas dalam perbincangan bersama institusi hak asasi manusia di rantau ini, selaras dengan kepentingan isu tersebut yang semakin meningkat.

SUHAKAM turut mengulangi sokongannya terhadap penggubalan undang-undang khusus bagi melindungi hak warga emas di Malaysia. Sejak tahun 2018, SUHAKAM telah menyokong usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk membangunkan Rang Undang-Undang Warga Emas bagi menangani kelemahan dalam undang-undang sedia ada, termasuk berkaitan penderaan dan pengabaian warga emas. SUHAKAM percaya bahawa undang-undang khusus ini penting untuk memperkukuh perlindungan serta memastikan hak, maruah dan kesejahteraan warga emas terus terpelihara.

Bersempena Hari Warga Emas Antarabangsa 2026, SUHAKAM juga akan meraikan Hari Warga Emas pada 7 Oktober 2026 di Rumah Seri Kenangan Cheras dengan tema ‘Meraikan Warga Emas Kita!’ (Celebrating Our Older Persons!). Program ini merupakan penghargaan terhadap pengalaman, kebijaksanaan dan sumbangan warga emas kepada masyarakat dan negara. Ia juga mencerminkan komitmen SUHAKAM untuk terus memperjuangkan hak warga emas, mendengar suara mereka dan memastikan sumbangan mereka terus dihargai.

Sempena Hari Warga Emas Antarabangsa ini, SUHAKAM menyeru Kerajaan, institusi berkaitan, masyarakat sivil, komuniti dan keluarga untuk bersama-sama membina masyarakat yang lebih inklusif dan mesra warga emas. Setiap individu berhak melalui usia tua dengan bermaruah, kekal aktif dan berdikari mengikut keupayaan dan pilihan masing-masing, terus terlibat dalam kehidupan bermasyarakat serta menikmati hak asasi manusia sepanjang hayat.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
1 Oktober 2026

Tags: No tags

Comments are closed.