[OCC] Kenyataan Media No. 51-2026_Insentif Perkahwinan Perak Tidak Wajar Merangkumi Kanak-Kanak, Tegas Pesuruhjaya Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR (30 OGOS 2026) - Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) sedia maklum mengenai laporan media berkaitan cadangan Kerajaan Negeri Perak untuk memperkenalkan Insentif Perkahwinan Kali Pertama sebanyak RM500 bagi golongan belia berumur antara 15 hingga 35 tahun, yang sedang dipertimbangkan di bawah Belanjawan Negeri Perak 2027.

CC menghargai hasrat Kerajaan Negeri Perak untuk membantu golongan muda menangani cabaran kewangan dan sosial berkaitan dengan pembentukan keluarga. Walau bagaimanapun, CC berpandangan bahawa sebarang bentuk insentif perkahwinan tidak seharusnya diberikan kepada kanak-kanak atau individu di bawah umur 18 tahun.

Meskipun seseorang yang berumur 15 tahun adalah termasuk dalam takrifan ‘belia’ di bawah dasar atau perundangan pembangunan belia tertentu, dari perspektif hak kanak-kanak dan di bawah Seksyen 2 Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611], seseorang yang berumur di bawah 18 tahun adalah kanak-kanak. Oleh itu, pengkategorian seseorang sebagai ‘belia’ tidak seharusnya menjejaskan atau mengatasi keperluan kanak-kanak untuk menerima perlindungan khusus yang diberikan kepada mereka berdasarkan piawaian hak kanak-kanak.

CC bimbang bahawa kemasukan kanak-kanak berumur 15 hingga 17 tahun sebagai bakal penerima insentif perkahwinan boleh memberikan isyarat dasar yang tidak selaras dengan usaha mencegah dan membasmi perkahwinan kanak-kanak. Walaupun tujuan insentif tersebut adalah untuk meringankan beban kewangan pasangan muda, pemberian bantuan kewangan yang secara khusus dikaitkan dengan perkahwinan secara tidak langsung boleh mewujudkan persepsi bahawa perkahwinan dalam kalangan kanak-kanak diterima, disokong atau digalakkan.

Kanak-kanak tidak seharusnya diberi insentif untuk berkahwin

Perkahwinan kanak-kanak boleh memberi kesan yang besar dan berpanjangan terhadap hak dan kesejahteraan kanak-kanak, termasuk pendidikan, kesihatan, perkembangan, keselamatan, autonomi, kesejahteraan psikososial dan peluang masa depan mereka. Oleh itu, dasar dan program yang memberi kesan kepada kanak-kanak perlu dinilai dengan mengambil kira prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak, termasuk kesan langsung dan tidak langsung terhadap kehidupan mereka.

Sehubungan itu, CC menyeru agar prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak diberikan pertimbangan utama dalam memuktamadkan sebarang cadangan berkaitan insentif perkahwinan. Kanak-kanak juga hendaklah diberikan peluang untuk menyatakan pandangan mereka, dan pandangan tersebut hendaklah diambil kira dalam perkara yang memberi kesan kepada kehidupan mereka.

Selaras dengan dasar pendidikan menengah wajib

CC berpandangan bahawa cadangan ini perlu dipertimbangkan dalam konteks pengukuhan kerangka pendidikan Malaysia di mana baru-baru ini, Malaysia telah melanjutkan pendidikan wajib hingga ke peringkat menengah melalui pindaan kepada Akta Pendidikan 1996 [Akta 550]. Ini mencerminkan komitmen negara untuk memastikan kanak-kanak kekal dalam sistem pendidikan dan tidak tercicir selepas menamatkan pendidikan rendah. Pendidikan menengah atas merangkumi mereka yang berumur 16 hingga 17 tahun. Oleh itu, cadangan untuk memasukkan individu berumur 15 hingga 17 tahun dalam skim insentif perkahwinan wajar dipertimbangkan dengan teliti, memandangkan kumpulan umur tersebut masih berada dalam tempoh pendidikan menengah.

Sekiranya Insentif Perkahwinan Kali Pertama diteruskan, kelayakan hendaklah dihadkan kepada individu berumur 18 tahun dan ke atas. Langkah ini dapat memastikan bantuan yang diberikan selaras dengan pendekatan berasaskan hak kanak-kanak serta usaha untuk mencegah perkahwinan kanak-kanak.

CC turut mengesyorkan agar sokongan sosial kepada kanak-kanak di bawah umur 18 tahun yang berisiko berkahwin akibat kesukaran ekonomi diberikan sebelum perkahwinan dipertimbangkan. Kemiskinan dan pendapatan isi rumah yang rendah telah dikenal pasti sebagai antara faktor lazim yang menyumbang kepada perkahwinan kanak-kanak di Malaysia. Sokongan dan intervensi Kerajaan sewajarnya disediakan lebih awal bagi mengelakkan perkahwinan dianggap sebagai jalan keluar daripada kesusahan ekonomi yang dihadapi oleh keluarga.

Bantuan tersebut boleh disasarkan kepada keluarga berisiko tinggi melalui sokongan kewangan, langkah-langkah untuk memastikan kanak-kanak kekal dalam pendidikan, bantuan persekolahan, akses kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), perkhidmatan sosial serta intervensi berasaskan keluarga. Matlamatnya hendaklah untuk memastikan kanak-kanak mempunyai pilihan lain yang wajar selain perkahwinan serta berupaya meneruskan pembelajaran, membangunkan kemahiran dan membina masa depan mereka.

Pindaan umur minimum perkahwinan

CC turut menggesa Kerajaan Negeri Perak untuk mempertimbangkan pembaharuan perundangan bagi menetapkan umur 18 tahun sebagai umur minimum perkahwinan bagi lelaki dan perempuan beragama Islam di Perak. Pada masa ini, Seksyen 8 Enakmen Keluarga Islam (Perak) 2004 menetapkan umur minimum 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan, manakala perkahwinan di bawah umur tersebut boleh dibenarkan dengan kebenaran bertulis Hakim Syarie. CC mengesyorkan agar umur minimum perkahwinan ditetapkan secara seragam pada 18 tahun bagi lelaki dan perempuan.

Sekiranya mekanisme pengecualian kehakiman bagi individu di bawah umur 18 tahun dikekalkan, mekanisme tersebut hendaklah benar-benar merupakan suatu pengecualian, ditentukan oleh Hakim Syarie dan tertakluk kepada penilaian ketat berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) berkenaan Permohonan Perkahwinan Bawah Umur. Penilaian tersebut hendaklah merangkumi, antara lain, kebajikan, pendidikan, kesihatan, kesejahteraan psikologi dan keadaan sosioekonomi kanak-kanak.

CC berpandangan bahawa sebarang keputusan berhubung permohonan perkahwinan bagi individu bawah umur 18 tahun harus berpandukan kepentingan terbaik kanak-kanak. Perkahwinan seharusnya tidak dijadikan sebagai penyelesaian kepada kemiskinan, tekanan keluarga, kehamilan, stigma sosial atau keadaan lain tanpa terlebih dahulu meneliti sama ada kanak-kanak tersebut boleh dilindungi dengan secukupnya melalui intervensi alternatif.

Pendekatan yang sewajarnya adalah untuk menyokong golongan dewasa yang ingin membina keluarga, di samping melindungi kanak-kanak daripada didorong atau digalakkan untuk berkahwin sebelum tiba masanya.

CC juga menggesa agar syarat kelayakan umur yang dicadangkan dikaji semula sebelum cadangan tersebut dimuktamadkan atau dipertimbangkan di bawah Belanjawan Negeri Perak 2027.

CC bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Perak bagi memastikan dasar dan program berkaitan golongan muda dibangunkan melalui pendekatan berasaskan hak kanak-kanak, dengan memberikan pertimbangan sewajarnya kepada kepentingan terbaik kanak-kanak serta memastikan setiap kanak-kanak mempunyai peluang untuk membesar, belajar, berkembang dan mencapai potensi sepenuhnya tanpa didorong atau didesak untuk berkahwin ketika masih kanak-kanak.

-TAMAT-

Pesuruhjaya Kanak-Kanak
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
30 Ogos 2026

Tags: No tags

Comments are closed.