KUALA LUMPUR (10 JUN 2026) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) sambut baik kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa Kerajaan bersedia untuk memudah cara siasatan lanjut berdasarkan penemuan dan syor yang dikemukakan melalui Siasatan Awam SUHAKAM berhubung insiden di Penjara Taiping, Perak. Kenyataan Menteri bahawa “yang salah tetap salah” dan bahawa tiada salah laku akan dilindungi mencerminkan komitmen penting terhadap akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang.
Penemuan Siasatan Awam ini telah mendedahkan pelanggaran serius hak asasi manusia terhadap tahanan serta menimbulkan kebimbangan berhubung tindakan segelintir pegawai penjara, akauntabiliti institusi dan keberkesanan mekanisme perlindungan sedia ada di tempat-tempat tahanan. Penemuan ini dicapai melalui proses siasatan yang menyeluruh, melibatkan keterangan saksi, bukti berdokumen dan penilaian pakar.
Sehubungan itu, SUHAKAM berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat melengkapkan siasatan secara menyeluruh, bebas dan segera dengan mengambil kira penemuan serta bukti yang telah dikemukakan sepanjang Siasatan Awam tersebut. Sekiranya terdapat bukti yang mencukupi, tindakan pendakwaan jenayah yang sewajarnya perlu diambil terhadap semua individu yang didapati melakukan kesalahan, tanpa mengira pangkat atau jawatan.
SUHAKAM turut menegaskan bahawa akauntabiliti tidak seharusnya terhad kepada siasatan jenayah semata-mata. Semua agensi berkaitan, termasuk yang bertanggungjawab terhadap pengawasan tatatertib, tadbir urus, integriti dan akauntabiliti perkhidmatan awam, perlu melaksanakan tindakan susulan yang sewajarnya selaras dengan bidang kuasa masing-masing. Memastikan akauntabiliti di setiap peringkat adalah penting bukan sahaja untuk menegakkan keadilan, tetapi juga untuk memulihkan keyakinan awam terhadap institusi negara.
Suruhanjaya turut mengalu-alukan komitmen yang dinyatakan oleh Jabatan Penjara Malaysia untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berkaitan serta meneliti penemuan dan syor yang dikemukakan melalui Siasatan Awam ini. Reformasi institusi yang bermakna, termasuk pelaksanaan syor-syor Siasatan Awam, adalah perlu bagi mengelakkan kejadian seumpama ini daripada berulang.
Selaras dengan Seksyen 13(3) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 [Akta 597], SUHAKAM akan mengadakan sesi libat urus bersama agensi-agensi berkaitan bagi mendapatkan perkembangan terkini serta memantau status tindakan yang telah diambil susulan penemuan dan syor Siasatan Awam tersebut. Suruhanjaya kekal komited untuk memastikan syor-syor berkenaan dipertimbangkan secara serius dan dilaksanakan dengan berkesan.
Kredibiliti sesuatu sistem keadilan tidak diukur berdasarkan layanan kepada golongan yang berkuasa, tetapi berdasarkan layanan terhadap individu yang berada di bawah jagaan dan tanggungjawabnya. Oleh itu, Suruhanjaya menyeru semua pihak berkuasa yang berkaitan agar mengambil tindakan tegas terhadap penemuan Siasatan Awam ini bagi membuktikan bahawa pelanggaran hak asasi manusia tidak akan diterima atau dipandang ringan.
-TAMAT-
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
10 Jun 2026
