KUALA LUMPUR (23 JANUARY 2026) Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak (OCC), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyambut baik pengenalan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 sebagai kesinambungan strategik kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013–2025. Secara keseluruhan, OCC melihat RPM ini sebagai langkah yang positif dan matang untuk membina sistem pendidikan yang lebih berkualiti, adil dan berpaksikan kesejahteraan kanak-kanak.
OCC mengiktiraf hala tuju RPM yang tidak lagi menumpukan akses semata-mata, sebaliknya memberi penekanan kepada mutu pendidikan, ekuiti dan kesejahteraan murid. Pendekatan ini penting kerana pendidikan yang benar-benar bermakna bukan sekadar memastikan kanak-kanak hadir ke sekolah, tetapi memastikan mereka belajar dengan baik dalam persekitaran yang selamat, menyokong dan membantu mereka berkembang.
Penegasan konsep “Insan Sejahtera” yang merangkumi aspek akademik, sahsiah, emosi, sosial dan kerohanian juga selari dengan pendekatan hak kanak-kanak yang holistik. OCC melihat ini sebagai pengiktirafan bahawa kejayaan pendidikan tidak wajar diukur melalui peperiksaan semata-mata.
OCC turut memuji komitmen Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terhadap pendidikan terangkum, termasuk usaha memperluas sokongan kepada Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK), murid pedalaman, murid Orang Asli serta murid daripada latar sosioekonomi rendah. Prinsip “tiada kanak-kanak ditinggalkan” jelas diketengahkan dalam kerangka dasar ini.
Selain itu, kesediaan KPM mengakui cabaran sedia ada secara terbuka, termasuk prestasi PISA dan TIMSS, jurang bandar–luar bandar serta isu keciciran menengah atas, menunjukkan ketelusan dasar yang wajar dipuji. Pengakuan terhadap jurang dan kelemahan ialah langkah penting untuk pembaikan yang lebih berkesan.
Walau bagaimanapun, OCC ingin menegaskan bahawa kejayaan sebenar RPM 2026–2035 terletak pada pelaksanaan yang konsisten dan berkesan, khususnya dari sudut perlindungan hak pendidikan kanak-kanak. Walaupun RPM mempunyai visi dan kerangka yang kukuh, mekanisme perlindungan hak pendidikan masih perlu diperincikan dengan lebih jelas. OCC berpandangan bahawa kanak-kanak bukan sekadar penerima dasar, tetapi pemegang hak, selaras dengan obligasi Malaysia di bawah Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak (CRC). Oleh itu, perlu ada penjelasan yang lebih terang tentang bagaimana hak pendidikan murid akan dilindungi, dipantau dan diambil tindakan apabila sasaran tidak dicapai di peringkat sekolah atau daerah.
OCC juga menekankan bahawa isu keciciran menengah atas perlu dilihat sebagai isu hak kanak-kanak, bukan sekadar statistik enrolmen. Apabila seorang kanak-kanak tercicir, ia menandakan sistem belum cukup melindungi hak pendidikan mereka. OCC menggesa agar strategi yang lebih bersasar dibangunkan untuk murid yang berisiko tinggi, termasuk murid miskin, murid pedalaman, murid yang terpaksa bekerja, murid berisiko perkahwinan awal, serta murid tanpa dokumen atau status yang tidak jelas.
Dalam aspek pendidikan terangkum pula, OCC mengambil maklum bahawa jurang masih ketara dari segi infrastruktur dan akses fizikal, khususnya bagi kanak-kanak OKU. Jika hanya sebahagian sekolah mesra OKU, ini bermakna masih ada kanak-kanak yang secara tidak langsung dinafikan hak mereka untuk belajar dalam persekitaran yang sesuai. OCC mencadangkan agar KPM menetapkan garis masa yang jelas dan boleh diukur untuk menaik taraf sekolah mesra OKU, di samping memperkukuh latihan guru pendidikan inklusif secara lebih menyeluruh.
OCC juga berpandangan bahawa suara kanak-kanak masih belum diberi ruang yang mencukupi dalam tadbir urus pendidikan. Mekanisme sebenar untuk mendengar pandangan, pengalaman dan kebimbangan murid masih terhad. Dasar pendidikan yang benar-benar berpaksikan kanak-kanak perlu mendengar suara mereka secara bermakna, selamat dan berterusan, agar respons dasar lebih tepat dengan realiti di sekolah.
Pada masa yang sama, OCC menegaskan bahawa kesejahteraan guru dan kaunselor ialah prasyarat penting kepada hak pendidikan murid. Beban tugas bukan pedagogi, nisbah kaunselor:murid yang masih tinggi dan tekanan kerja boleh memberi kesan langsung kepada kualiti sokongan yang diterima oleh murid. Pelaburan terhadap kesejahteraan pendidik ialah pelaburan terhadap masa depan kanak-kanak.
Secara keseluruhan, OCC menyambut baik RPM 2026–2035 sebagai langkah penting ke arah sistem pendidikan yang lebih terangkum, adil dan berorientasikan masa depan. Namun, dasar yang baik mesti disokong oleh pelaksanaan yang benar-benar berasaskan hak kanak-kanak. Kejayaan sebenar RPM 2026–2035 bukan diukur melalui dokumen atau sasaran semata-mata, tetapi melalui keupayaannya memastikan tiada kanak-kanak tercicir, terpinggir atau dinafikan hak pendidikan mereka, khususnya golongan paling rentan.
OCC bersedia bekerjasama secara konstruktif dengan Kementerian Pendidikan Malaysia dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan RPM ini benar-benar membawa perubahan nyata kepada kehidupan dan masa depan setiap kanak-kanak di Malaysia.
-TAMAT-
Dr Farah Nini Dusuki
Ketua Pesuruhjaya Kanak
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
23 Januari 2026
