Kenyataan Media No. 48-2025_SUHAKAM Gesa Langkah Perlindungan Segera Daripada Keganasan Berdasarkan Gender

KUALA LUMPUR (16 October 2025) – KUALA LUMPUR (16 Oktober 2025) – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menzahirkan kebimbangan terhadap beberapa insiden mutakhir ini mengenai keganasan, buli, serangan seksual dan pembunuhan berasaskan gender yang melibatkan kanak-kanak perempuan di Malaysia, termasuk kes di Sabah, Melaka, Selangor dan Kedah.

Insiden-insiden ini, termasuk rogol berkumpulan dan keganasan membawa maut yang boleh disifatkan sebagai femisid ini mengungkap realiti yang amat membimbangkan. Kanak-kanak, khususnya kanak-kanak perempuan, berterusan gagal dilindungi oleh sistem sedia ada bahkan struktur sosial semasa tidak menjamin keselamatan mereka. Sekolah, komuniti dan juga ruang maya yang sepatutnya menjadi tempat pembelajaran, perkembangan, semakin berubah menjadi ruang yang menakutkan dan bahaya. Situasi ini bukan hanya tragedi dalam negara tetapi juga merupakan pelanggaran serius terhadap hak, maruah dan kesaksamaan kanak-kanak.

Komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW), serta Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan yang melarang diskriminasi berasaskan gender, perlu diterjemah kepada perlindungan yang berkesan. Kelemahan berterusan dalam penguatkuasaan, penyelarasan dan kesedaran masyarakat masih menjadi punca utama kanak-kanak perempuan terdedah kepada keganasan berasaskan gender, eksploitasi seksual dan dimalukan di khalayak ramai, sama ada di luar mahupun di alam maya.

Sehubungan itu, SUHAKAM menyeru agar:

  1. Diwujudkan pangkalan data bersepadu mengenai keganasan berasaskan gender yang menyasarkan kanak-kanak, termasuk femisid, bagi menyokong dasar dan intervensi yang berasaskan bukti serta responsif gender.
  2. Semua Kementerian berkaitan, termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Pendidikan (KPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), perlu melantik pegawai fokal perlindungan gender dan kanak-kanak, ini bagi memastikan respon yang pantas, berfokuskan mangsa dan peka trauma.
  3. Semua sekolah harus mempunyai persekitaran yang selamat dan inklusif melalui pengukuhan dasar serta penguatkuasaan anti-buli dan gangguan, mekanisme pelaporan secara sulit, serta pendidikan menyeluruh mengenai kesaksamaan gender, rasa hormat dan keizinan.
  4. The media and the public to uphold ethical standards by refraining from publishing, circulating, or discussing material that could identify children involved in criminal or sensitive cases.

Media dan orang awam terus mengekalkan etika profesional dengan tidak menerbitkan, menyebarkan atau membincangkan bahan yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak yang terlibat dalam kes jenayah atau sensitif. Komitmen Malaysia terhadap Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya Matlamat 5 (Kesaksamaan Gender) dan Matlamat 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Kukuh), memerlukan tindakan segera dan bersepadu bagi memastikan kanak-kanak perempuan dan semua kanak-kanak bebas daripada keganasan, diskriminasi dan eksploitasi.

Seiring dengan sambutan Hari Kanak-Kanak Perempuan Sedunia pada 11 Oktober lalu, Malaysia perlu memperingati dan mengambil tindakan tegas untuk melindungi kanak-kanak perempuan, bukan sahaja daripada keganasan fizikal dan seksual, tetapi juga perlindungan daripada penghinaan awam, pendedahan identiti secara terbuka dalam talian, dan ancaman femisid yang semakin meningkat. Melindungi hak kanak-kanak bermakna melindungi identiti, keselamatan dan maruah mereka, sama ada di luar dan alam maya. Setiap kanak-kanak perempuan berhak untuk hidup bebas daripada keganasan berasaskan gender, termasuk femisid, serta membesar dalam persekitaran yang menghormati kesamarataan, autonomi dan maruah dirinya.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

Tarikh: 16 Oktober 2025

Tags: No tags

Comments are closed.