KUALA LUMPUR (10 Oktober 2025) – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyertai komuniti antarabangsa dalam memperingati Hari Menentang Hukuman Mati Sedunia, yang disambut setiap tahun pada 10 Oktober, bagi menegaskan semula seruan sejagat untuk melindungi hak untuk hidup serta pemansuhan hukuman mati.
Namun demikian, sambutan pada tahun ini diselubungi rasa duka berikutan dua warganegara Malaysia telah dihukum gantung sampai mati di Singapura baru-baru ini setelah disabitkan kesalahan berkaitan dadah. Sebelum pelaksanaan hukuman tersebut, SUHAKAM telah menulis kepada Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Malaysia untuk merayu agar hukuman itu ditangguhkan dan dipertimbangkan semula, selaras dengan seruan antarabangsa yang menegakkan belas ihsan, keinsafan dan penghormatan kepada kehidupan.
Gerakan global ke arah penghapusan hukuman mati terus menunjukkan kemajuan dengan lebih dua pertiga negara di dunia telah memilih untuk memansuhkan hukuman mati, sama ada melalui undang-undang atau menghentikan pelaksanaannya. Malaysia secara amnya, telah memansuhkan hukuman mati mandatori serta menjalankan reformasi berterusan dengan menilai semula dasar berkaitan hukuman mati. Ini mencerminkan langkah yang signifikan dan terpuji. Namun begitu, perjalanan ke arah pemansuhan sepenuhnya masih belum selesai.
Persoalan yang terus berbangkit ialah sama ada dunia suatu hari nanti mampu bebas daripada hukuman mati. SUHAKAM yakin bahawa hal ini tidak mustahil, tetapi memerlukan lebih daripada iltizam politik. Ia menuntut keberanian moral, pendidikan awam serta sistem yang berasaskan nilai kemanusiaan dan keadilan. Keadilan yang sebenar tidak dapat dicapai melalui hukuman yang menhapuskan nyawa, sebaliknya perlu dibina atas prinsip kesamarataan, pemulihan, dan penghormatan terhadap maruah manusia.
SUHAKAM menegaskan komitmen yang teguh terhadap pemansuhan sepenuhnya hukuman mati, selaras dengan norma hak asasi manusia antarabangsa dan hak untuk hidup yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan. Suruhanjaya menegaskan bahawa sistem keadilan yang berperikemanusiaan dan berasaskan hak asasi adalah satu-satunya sistem yang mampu membawa keadilan yang berkekalan.
-TAMAT-
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
Tarikh : 10 Oktober 2025