KUALA LUMPUR (21 JANUARI 2026) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mengambil maklum bahawa soalan yang dikemukakan oleh seorang wartawan, Rex Tan dalam satu forum terbuka telah mencetuskan perdebatan umum, khususnya berkaitan isu diskriminasi kaum. SUHAKAM mengakui sensitiviti soalan tersebut serta reaksi susulan yang telah memberi kesan terhadap keharmonian sosial dalam kalangan masyarakat Malaysia dan menegaskan bahawa isu berkaitan diskriminasi kaum merupakan perkara serius dan perlu ditangani secara telus, jujur dan inklusif, selaras dengan nilai perlembagaan yang menjamin kesaksamaan dan prinsip tanpa diskriminasi.
Pada masa yang sama, SUHAKAM memandang serius berkenaan penahanan dan siasatan wartawan tersebut di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) 1998, sepertimana kenyataan media oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). Dalam hal ini, SUHAKAM merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Heidy Quah lwn Kerajaan Malaysia (19 Ogos 2025), yang memutuskan bahawa perkataan “offensive” dan “annoy” dalam Seksyen 233 adalah bercanggah dengan Perkara 10(1)(a) dan (2)(a) dibaca bersama Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, dan ia adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah. Heidy Quah Gaik Li v Kerajaan Malaysia (26 August 2025), where the Court held that the words “offensive” and “annoy” in Section 233 of the CMA constituting an offence, to be inconsistent with Article 10(1)(a) and (2)(a) read with Article 8 of the Federal Constitution, and hence, unconstitutional and void.
Penggunaan pelbagai peruntukan jenayah terhadap pertanyaan wartawan mengenai perkara berkepentingan awam menimbulkan implikasi serius kepada kebebasan bersuara dan kebebasan media di Malaysia. SUHAKAM berpandangan bahawa tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa adalah terlalu keras dan boleh dianggap berlebihan. Pendekatan sedemikian mencerminkan penguatkuasaan yang terlalu mengutamakan hukuman berbanding usaha untuk menangani isu ini melalui dialog dan respons berasaskan hak asasi manusia. SUHAKAM menegaskan bahawa perubahan besar perlu dibuat terhadap pendekatan yang digunakan oleh agensi penguatkuasaan supaya lebih berkadaran, berhemah dan selaras dengan nilai demokrasi serta kebebasan asasi. Tindakan ini turut menimbulkan persoalan serius terhadap jaminan kebebasan bersuara dan menyuarakan pendapat seperti mana termaktub di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
SUHAKAM ingin menegaskan bahawa Seksyen 233 CMA 1998 memperuntukkan tindakan terhadap penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan komunikasi. Soalan yang dikemukakan oleh wartawan tersebut telah diajukan secara lisan dalam satu forum terbuka secara fizikal dan tidak dihantar atau disebarkan dalam talian oleh beliau. Seksyen 233 hanya terpakai kepada komunikasi yang dimulakan atau dihantar melalui perkhidmatan rangkaian, dan sebarang rakaman atau penyebaran dalam talian oleh pihak ketiga tidak mewujudkan liabiliti terhadap individu yang membuat kenyataan. Jika tiada bukti bahawa wartawan tersebut telah memulakan atau terlibat untuk menyebarkannya secara dalam talian, Seksyen 233 adalah tidak terpakai.
SUHAKAM turut menegaskan bahawa Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan bagi kenyataan yang boleh menimbulkan ketakutan atau kegusaran dalam kalangan orang awam atau mengganggu ketenteraman awam. Walaupun memelihara ketenteraman awam merupakan satu matlamat utama di sisi undang-undang, pemakaian peruntukan ini hendaklah dilakukan dengan penuh berhati-hati, khususnya dalam konteks siasatan kewartawanan atau perbincangan awam mengenai perkara berkepentingan awam. Sebarang sekatan yang dikenakan mestilah sah, berkeperluan dan seimbang dengan prinsip perlembagaan.
SUHAKAM berulang kali menegaskan bahawa Akta Hasutan 1948 bersifat terlalu luas dan mudah disalahgunakan, sekali gus mewujudkan ketakutan untuk perbincangan yang sah, khususnya dalam isu yang melibatkan kepentingan awam. Sifat pencegahannya yang tidak memerlukan pembuktian kemudaratan sebenar boleh menimbulkan risiko besar terhadap kebebasan asas dalam masyarakat demokratik dan majmuk. SUHAKAM turut menekankan bahawa prosiding jenayah terhadap wartawan seharusnya digunakan sebagai langkah terakhir. Isu berkaitan etika kewartawanan atau tatakelakuan profesional wajar ditangani secara khusus melalui mekanisme kawal selia kendiri yang kukuh, selaras dengan prinsip demokrasi dan amalan terbaik antarabangsa dalam perlindungan kebebasan media.
Sehubungan itu, SUHAKAM menyeru Kerajaan untuk:
- Memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta melaksanakan pembaharuan undang-undang secara menyeluruh bagi memastikannya selaras dengan jaminan Perlembagaan dan piawaian hak asasi manusia antarabangsa;
- Menerapkan pendekatan berasaskan hak asasi manusia dan tidak menghukum dalam menangani isu sensitif berkaitan kaum dan diskriminasi, termasuk melalui usaha dialog, pendidikan dan pembaharuan institusi; dan
- Memperkukuh serta memberikan pengiktirafan sewajarnya kepada Majlis Media Malaysia (MMM) sebagai mekanisme kawal selia kendiri utama yang bebas bagi media, termasuk dengan mengutamakan rujukan kepada MMM dalam menangani aduan terhadap wartawan sebelum sebarang prosiding jenayah dimulakan.
SUHAKAM mengulangi pendirian bahawa kebebasan bersuara dan kebebasan media merupakan tonggak asas sebuah masyarakat demokratik. Walaupun Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan sekatan demi kepentingan ketenteraman awam, setiap sekatan yang dikenakan mestilah mematuhi prinsip yang sah, berkeperluan dan seimbang. Perlindungan terhadap hak-hak ini, di samping mempromosi kewartawanan yang bertanggungjawab, adalah penting bagi tadbir urus demokrasi, keharmonian sosial dan kepercayaan awam.
-TAMAT--
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
Tarikh: 21 Januari 2026
