2

Kenyataan Media No. 05-2026_SUHAKAM Seru Kerajaan Laksanakan Tindakan Segera, Bersepadu dan Bersasar Susulan Semakan Berkala Jawatankuasa PBB Mengenai Hak Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR (29 JANUARI 2026) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyambut baik Ucapan Penutup oleh Jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) susulan semakan terkini Malaysia di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak. SUHAKAM mengambil maklum pengiktirafan Jawatankuasa terhadap kemajuan Malaysia dalam beberapa aspek, namun menegaskan bahawa masih terdapat jurang yang menghalang realisasi hak kanak-kanak sepenuhnya dan ia memerlukan tindakan segera, bersepadu dan bersasar.

SUHAKAM memuji langkah-langkah positif yang telah diambil oleh Kerajaan, seperti yang diiktiraf oleh CRC, termasuk penambahbaikan dalam aspek kesihatan ibu dan kanak-kanak, peluasan intervensi pencegahan, serta usaha untuk memperkukuh dasar dan perkhidmatan berkaitan kanak-kanak. SUHAKAM juga mengambil maklum penglibatan konstruktif yang ditunjukkan oleh Kerajaan sepanjang proses semakan, yang mencerminkan keterbukaan terhadap dialog dan pembaharuan. Perkembangan ini merupakan satu kemajuan yang signifikan. Namun demikian, seperti yang ditekankan oleh CRC, kemajuan masih tidak seimbang dan perlu diperkukuhkan melalui pembaharuan struktur dan perundangan bagi memastikan tiada kanak-kanak yang tercicir.

Selaras dengan pendirian konsisten SUHAKAM serta Ucapan Penutup Jawatankuasa PBB, SUHAKAM menekankan enam syor-syor penting yang memerlukan perhatian segera:

  • Penarikan Balik Reservasi

SUHAKAM mengulangi seruan agar Malaysia menarik balik baki reservasi terhadap Konvensyen, memandangkan pengekalan reservasi tersebut tidak lagi selari dengan pembaharuan perundangan dan institusi negara. SUHAKAM menggesa Kerajaan untuk mempercepatkan penyelesaian proses semakan yang dimulakan pada tahun 2017, selaras dengan tempoh masa satu tahun yang ditetapkan oleh Jawatankuasa.

  • Penyelarasan Undang-Undang Domestik

SUHAKAM menyeru agar pembaharuan undang-undang dipercepatkan bagi memastikan penyelarasan sepenuhnya perundangan domestik dengan Konvensyen serta Ulasan Amnya. Usaha ini perlu disokong oleh mekanisme nasional yang bersepadu, dengan kepimpinan, akauntabiliti dan garis masa yang jelas, serta mengutamakan Ulasan Am No. 24 dan pembangunan dasar berasaskan bukti.

  • Perlindungan Kanak-Kanak dan Sistem Keadilan Kanak-Kanak

SUHAKAM menegaskan keperluan untuk memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak, termasuk pendekatan penjagaan alternatif yang kukuh dan berasaskan hak, dengan memastikan penahanan kanak-kanak hanya sebagai langkah terakhir. SUHAKAM sekali lagi menegaskan keperluan mendesak untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung Penjagaan Institusi Kanak-Kanak bagi meneliti cabaran kompleks pelbagai pihak berkuasa yang mengurus institusi-institusi tersebut, menghapuskan isu sistemik yang dihadapi kanak-kanak dalam penjagaan institusi, serta mengenal pasti punca utama kelemahan pemantauan dan penyeliaan. Sistem keadilan kanak-kanak mestilah diselaraskan sepenuhnya dengan piawaian Konvensyen dan disokong oleh tenaga kerja perlindungan kanak-kanak yang telus, profesional dan bertanggungjawab.

  • Kanak-Kanak Pelarian, Migran dan Tanpa Dokumen

SUHAKAM mengulangi pendiriannya yang konsisten bahawa kanak-kanak pelarian, migran dan tanpa dokumen tidak boleh dikecualikan daripada rangka kerja perlindungan. Langkah-langkah konkrit diperlukan bagi mengintegrasi kanak-kanak ini ke dalam sistem nasional dan memastikan akses kepada perkhidmatan asas, termasuk pendidikan dan perlindungan sosial. Dalam konteks ini, SUHAKAM menekankan keperluan untuk merealisasikan secara progresif perlindungan kesihatan sejagat bagi semua kanak-kanak tanpa mengira kewarganegaraan atau status undang-undang, serta menghapuskan halangan sistemik yang membawa kepada penafian hak. SUHAKAM turut mengulangi gesaan supaya alternatif selain penahanan dilaksanakan dengan segera, penahanan imigresen kanak-kanak ditamatkan dan Akta Imigresen dipinda bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian Konvensyen.

  • Ruang Fiskal dan Perbelanjaan Berfokuskan Kanak-Kanak

Malaysia sedang bergerak ke arah status negara berpendapatan tinggi dan dalam suasana perubahan demografi yang pesat, SUHAKAM menegaskan bahawa pelaburan yang mencukupi dan mampan untuk kanak-kanak kekal sebagai kewajipan teras hak asasi manusia. SUHAKAM menyeru agar belanjawan memberi tumpuan khusus kepada kanak-kanak dan mengambil kira keperluan gender, perbelanjaan berkaitan kanak-kanak dipantau secara sistematik, serta kecukupan pelaburan dinilai berdasarkan kesannya terhadap kesejahteraan kanak-kanak, bagi memastikan peruntukan sumber membawa kepada penambahbaikan dalam kehidupan kanak-kanak.

  • Pelaporan di bawah Protokol Pilihan, Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) dan Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD)

SUHAKAM menggesa Kerajaan supaya mempercepatkan penyerahan laporan-laporan tertunggak di bawah Protokol Pilihan, termasuk Protokol Pilihan mengenai Penglibatan Kanak-kanak dalam Konflik Bersenjata (OPAC). Langkah ini penting bagi menzahirkan komitmen Malaysia terhadap akauntabiliti antarabangsa dan pematuhan penuh terhadap obligasi perjanjian, serta perlu dilaksanakan dengan mengambil kira prinsip hak asasi manusia yang saling berkait dan tidak boleh dipisahkan di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak, dibaca bersama CEDAW dan CRPD, bagi memastikan kesaksamaan gender dan hak kanak-kanak kurang upaya ditangani secara menyeluruh dan sistematik.

SUHAKAM juga ingin menjelaskan bahawa sejak Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) secara rasmi ditadbir urus di bawah SUHAKAM, OCC dibiayai sepenuhnya melalui peruntukan sedia ada tanpa sebarang peruntukan tambahan daripada Kerajaan. Pengaturan ini penting bagi melindungi kebebasan OCC, memandangkan SUHAKAM ialah Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan Malaysia yang diiktiraf dengan status “A” oleh Pakatan Global Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan (GANHRI) dan beroperasi selaras dengan Prinsip-prinsip Paris. SUHAKAM juga mengambil maklum bahawa CRC telah membangkitkan persoalan mengenai pembiayaan yang seharusnya mencukupi dan mampan untuk OCC. Walaupun pengaturan semasa jelas menunjukkan komitmen SUHAKAM untuk memperkukuh pemantauan, pengawasan dan advokasi hak kanak-kanak, jumlah peruntukan sedia ada adalah tidak mencukupi untuk menyokong skop tanggungjawab dan mandat OCC yang semakin meluas. Seiring dengan keperluan SUHAKAM menjalankan mandat di seluruh negara serta peningkatan penglibatan yang lebih berfokus dan berterusan terhadap kanak-kanak, pelaksanaan fungsi OCC yang lebih berkesan memerlukan peruntukan yang setimpal dan mencukupi.

SUHAKAM mengiktiraf kemajuan yang telah dicapai oleh Kerajaan namun ingin menekankan bahawa iltizam politik yang berterusan dan tindakan yang konkrit masih diperlukan untuk melaksanakan sepenuhnya syor-syor CRC. SUHAKAM kekal komited untuk bekerjasama secara konstruktif dengan Kerajaan, Parlimen dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan hak kanak-kanak dihormati, dilindungi dan dipenuhi sepenuhnya di Malaysia.                           

-TAMAT--

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
29 Januari 2026

E1

[OCC] Kenyataan Media No. 04-2026_Kanak-kanak Tidak Boleh Ditahan di Bawah SOSMA

KUALA LUMPUR (28 JANUARI 2026) - Semasa Kerajaan Malaysia sedang menjalani sesi semakan oleh Jawatankuasa Mengenai Hak Kanak-Kanak (Committee on the Rights of the Child, CRC) pada 22 dan 23 Januari 2026 di Geneva, Pesuruhjaya Kanak-Kanak yang turut hadir ke sesi tersebut telah mendapat makluman bahawa pada 23 Januari 2026, seorang kanak-kanak perempuan berusia 16 tahun telah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 [SOSMA] sebelum dibebaskan oleh pihak polis.

Kanak-kanak tersebut telah ditahan sejak 14 Januari 2026 berkaitan siasatan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) SUHAKAM menyambut baik pembebasan kanak-kanak tersebut namun menegaskan bahawa penahanan tersebut adalah tidak wajar dan tidak sepatutnya berlaku.

Penangkapan dan penahanan kanak-kanak berkenaan adalah bertentangan dengan Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611]. Seksyen 84 Akta 611 memperuntukkan bahawa seseorang kanak-kanak hendaklah dihadapkan ke Mahkamah Bagi Kanak-Kanak dalam tempoh 24 jam selepas ditangkap, namun keperluan ini tidak dipatuhi. Selain itu, Seksyen 83(1) Akta 611 dengan jelas menyatakan bahawa Akta Kanak-Kanak mengatasi semua undang-undang lain berkaitan penangkapan, penahanan dan perbicaraan kanak-kanak namun jaminan ini telah diabaikan, sekali gus mengakibatkan pelanggaran hak kanak-kanak yang ketara.

Tambahan pula, penahanan kanak-kanak tersebut di lokap bersama tahanan wanita dewasa adalah tidak selaras dengan Seksyen 85(a) Akta 611 dan merupakan pelanggaran kepada Artikel 37(c) CRC, yang memperuntukkan bahawa kanak-kanak hendaklah ditahan secara berasingan daripada orang dewasa serta dilayan mengikut kesesuaian umur dan tahap perkembangan mereka.

OCC turut menzahirkan kebimbangan serius bahawa kanak-kanak tersebut telah dinafikan perlindungan yang diperuntukkan di bawah Seksyen 13(2)(a) dan (b) SOSMA. Sebagai seorang kanak-kanak, terutamanya kanak-kanak perempuan, beliau sepatutnya diberikan jaminan dan bukannya dikenakan penahanan pra-pertuduhan selama 28 hari di bawah Seksyen 4(5) SOSMA. Kebimbangan ini diperkuatkan lagi dengan Artikel 37(b) CRC, yang menetapkan bahawa penahanan kanak-kanak hendaklah dijadikan sebagai langkah terakhir dan hanya untuk tempoh yang paling singkat serta sesuai dengan usia kanak-kanak. Penahanan hampir sepuluh hari terhadap kanak-kanak ini, yang mengakibatkan masalah kesihatan, merupakan pelanggaran terhadap prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak di bawah Artikel 3 CRC.

Pendekatan dan pendirian OCC adalah jelas dan tegas: kanak-kanak tidak boleh ditahan di bawah SOSMA. Memandangkan SOSMA membenarkan penahanan tanpa perbicaraan, ia tidak selaras dengan piawaian hak kanak-kanak. Oleh itu, mana-mana peruntukan yang membenarkan penahanan kanak-kanak di bawah SOSMA seharusnya dimansuhkan. Dalam semakan CRC Malaysia baru-baru ini, Kerajaan menegaskan komitmen untuk mengutamakan perlindungan, pembangunan dan penyertaan kanak-kanak, namun demikian, komitmen tersebut sukar untuk direalisasikan secara bermakna selagi SOSMA tidak dipinda untuk mengecualikan secara jelas pemakaiannya terhadap kanak-kanak.

-TAMAT-

Dr Farah Nini Dusuki
Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
28 Januari 2026

1

[OCC] Kenyataan Media No. 03-2026_OCC SUHAKAM Sambut Baik Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 Implementasi Pemerkasaan Hak Kanak Kanak

KUALA LUMPUR (23 JANUARY 2026) Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak (OCC), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyambut baik pengenalan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 sebagai kesinambungan strategik kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013–2025. Secara keseluruhan, OCC melihat RPM ini sebagai langkah yang positif dan matang untuk membina sistem pendidikan yang lebih berkualiti, adil dan berpaksikan kesejahteraan kanak-kanak.

OCC mengiktiraf hala tuju RPM yang tidak lagi menumpukan akses semata-mata, sebaliknya memberi penekanan kepada mutu pendidikan, ekuiti dan kesejahteraan murid. Pendekatan ini penting kerana pendidikan yang benar-benar bermakna bukan sekadar memastikan kanak-kanak hadir ke sekolah, tetapi memastikan mereka belajar dengan baik dalam persekitaran yang selamat, menyokong dan membantu mereka berkembang.

Penegasan konsep “Insan Sejahtera” yang merangkumi aspek akademik, sahsiah, emosi, sosial dan kerohanian juga selari dengan pendekatan hak kanak-kanak yang holistik. OCC melihat ini sebagai pengiktirafan bahawa kejayaan pendidikan tidak wajar diukur melalui peperiksaan semata-mata.

OCC turut memuji komitmen Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terhadap pendidikan terangkum, termasuk usaha memperluas sokongan kepada Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK), murid pedalaman, murid Orang Asli serta murid daripada latar sosioekonomi rendah. Prinsip “tiada kanak-kanak ditinggalkan” jelas diketengahkan dalam kerangka dasar ini.

Selain itu, kesediaan KPM mengakui cabaran sedia ada secara terbuka, termasuk prestasi PISA dan TIMSS, jurang bandar–luar bandar serta isu keciciran menengah atas, menunjukkan ketelusan dasar yang wajar dipuji. Pengakuan terhadap jurang dan kelemahan ialah langkah penting untuk pembaikan yang lebih berkesan.

Walau bagaimanapun, OCC ingin menegaskan bahawa kejayaan sebenar RPM 2026–2035 terletak pada pelaksanaan yang konsisten dan berkesan, khususnya dari sudut perlindungan hak pendidikan kanak-kanak. Walaupun RPM mempunyai visi dan kerangka yang kukuh, mekanisme perlindungan hak pendidikan masih perlu diperincikan dengan lebih jelas. OCC berpandangan bahawa kanak-kanak bukan sekadar penerima dasar, tetapi pemegang hak, selaras dengan obligasi Malaysia di bawah Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak (CRC). Oleh itu, perlu ada penjelasan yang lebih terang tentang bagaimana hak pendidikan murid akan dilindungi, dipantau dan diambil tindakan apabila sasaran tidak dicapai di peringkat sekolah atau daerah.

OCC juga menekankan bahawa isu keciciran menengah atas perlu dilihat sebagai isu hak kanak-kanak, bukan sekadar statistik enrolmen. Apabila seorang kanak-kanak tercicir, ia menandakan sistem belum cukup melindungi hak pendidikan mereka. OCC menggesa agar strategi yang lebih bersasar dibangunkan untuk murid yang berisiko tinggi, termasuk murid miskin, murid pedalaman, murid yang terpaksa bekerja, murid berisiko perkahwinan awal, serta murid tanpa dokumen atau status yang tidak jelas.

Dalam aspek pendidikan terangkum pula, OCC mengambil maklum bahawa jurang masih ketara dari segi infrastruktur dan akses fizikal, khususnya bagi kanak-kanak OKU. Jika hanya sebahagian sekolah mesra OKU, ini bermakna masih ada kanak-kanak yang secara tidak langsung dinafikan hak mereka untuk belajar dalam persekitaran yang sesuai. OCC mencadangkan agar KPM menetapkan garis masa yang jelas dan boleh diukur untuk menaik taraf sekolah mesra OKU, di samping memperkukuh latihan guru pendidikan inklusif secara lebih menyeluruh.

OCC juga berpandangan bahawa suara kanak-kanak masih belum diberi ruang yang mencukupi dalam tadbir urus pendidikan. Mekanisme sebenar untuk mendengar pandangan, pengalaman dan kebimbangan murid masih terhad. Dasar pendidikan yang benar-benar berpaksikan kanak-kanak perlu mendengar suara mereka secara bermakna, selamat dan berterusan, agar respons dasar lebih tepat dengan realiti di sekolah.

Pada masa yang sama, OCC menegaskan bahawa kesejahteraan guru dan kaunselor ialah prasyarat penting kepada hak pendidikan murid. Beban tugas bukan pedagogi, nisbah kaunselor:murid yang masih tinggi dan tekanan kerja boleh memberi kesan langsung kepada kualiti sokongan yang diterima oleh murid. Pelaburan terhadap kesejahteraan pendidik ialah pelaburan terhadap masa depan kanak-kanak.

Secara keseluruhan, OCC menyambut baik RPM 2026–2035 sebagai langkah penting ke arah sistem pendidikan yang lebih terangkum, adil dan berorientasikan masa depan. Namun, dasar yang baik mesti disokong oleh pelaksanaan yang benar-benar berasaskan hak kanak-kanak. Kejayaan sebenar RPM 2026–2035 bukan diukur melalui dokumen atau sasaran semata-mata, tetapi melalui keupayaannya memastikan tiada kanak-kanak tercicir, terpinggir atau dinafikan hak pendidikan mereka, khususnya golongan paling rentan.

OCC bersedia bekerjasama secara konstruktif dengan Kementerian Pendidikan Malaysia dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan RPM ini benar-benar membawa perubahan nyata kepada kehidupan dan masa depan setiap kanak-kanak di Malaysia.

-TAMAT-

Dr Farah Nini Dusuki

Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

23 Januari 2026

1

Kenyataan Media No. 02-2026_Kebebasan Bersuara Terancam, Maklum Balas SUHAKAM Terhadap Penggunaan Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi & Multimedia Dalam Konteks Kewartawanan

KUALA LUMPUR (21 JANUARI 2026) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mengambil maklum bahawa soalan yang dikemukakan oleh seorang wartawan, Rex Tan dalam satu forum terbuka telah mencetuskan perdebatan umum, khususnya berkaitan isu diskriminasi kaum. SUHAKAM mengakui sensitiviti soalan tersebut serta reaksi susulan yang telah memberi kesan terhadap keharmonian sosial dalam kalangan masyarakat Malaysia dan menegaskan bahawa isu berkaitan diskriminasi kaum merupakan perkara serius dan perlu ditangani secara telus, jujur dan inklusif, selaras dengan nilai perlembagaan yang menjamin kesaksamaan dan prinsip tanpa diskriminasi.

Pada masa yang sama, SUHAKAM memandang serius berkenaan penahanan dan siasatan wartawan tersebut di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) 1998, sepertimana kenyataan media oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). Dalam hal ini, SUHAKAM merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Heidy Quah lwn Kerajaan Malaysia (19 Ogos 2025), yang memutuskan bahawa perkataan “offensive” dan “annoy” dalam Seksyen 233 adalah bercanggah dengan Perkara 10(1)(a) dan (2)(a) dibaca bersama Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, dan ia adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah. Heidy Quah Gaik Li v Kerajaan Malaysia (26 August 2025), where the Court held that the words “offensive” and “annoy” in Section 233 of the CMA constituting an offence, to be inconsistent with Article 10(1)(a) and (2)(a) read with Article 8 of the Federal Constitution, and hence, unconstitutional and void.

Penggunaan pelbagai peruntukan jenayah terhadap pertanyaan wartawan mengenai perkara berkepentingan awam menimbulkan implikasi serius kepada kebebasan bersuara dan kebebasan media di Malaysia. SUHAKAM berpandangan bahawa tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa adalah terlalu keras dan boleh dianggap berlebihan. Pendekatan sedemikian mencerminkan penguatkuasaan yang terlalu mengutamakan hukuman berbanding usaha untuk menangani isu ini melalui dialog dan respons berasaskan hak asasi manusia. SUHAKAM menegaskan bahawa perubahan besar perlu dibuat terhadap pendekatan yang digunakan oleh agensi penguatkuasaan supaya lebih berkadaran, berhemah dan selaras dengan nilai demokrasi serta kebebasan asasi. Tindakan ini turut menimbulkan persoalan serius terhadap jaminan kebebasan bersuara dan menyuarakan pendapat seperti mana termaktub di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

SUHAKAM ingin menegaskan bahawa Seksyen 233 CMA 1998 memperuntukkan tindakan terhadap penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan komunikasi. Soalan yang dikemukakan oleh wartawan tersebut telah diajukan secara lisan dalam satu forum terbuka secara fizikal dan tidak dihantar atau disebarkan dalam talian oleh beliau. Seksyen 233 hanya terpakai kepada komunikasi yang dimulakan atau dihantar melalui perkhidmatan rangkaian, dan sebarang rakaman atau penyebaran dalam talian oleh pihak ketiga tidak mewujudkan liabiliti terhadap individu yang membuat kenyataan. Jika tiada bukti bahawa wartawan tersebut telah memulakan atau terlibat untuk menyebarkannya secara dalam talian, Seksyen 233 adalah tidak terpakai.

SUHAKAM turut menegaskan bahawa Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan bagi kenyataan yang boleh menimbulkan ketakutan atau kegusaran dalam kalangan orang awam atau mengganggu ketenteraman awam. Walaupun memelihara ketenteraman awam merupakan satu matlamat utama di sisi undang-undang, pemakaian peruntukan ini hendaklah dilakukan dengan penuh berhati-hati, khususnya dalam konteks siasatan kewartawanan atau perbincangan awam mengenai perkara berkepentingan awam. Sebarang sekatan yang dikenakan mestilah sah, berkeperluan dan seimbang dengan prinsip perlembagaan.

SUHAKAM berulang kali menegaskan bahawa Akta Hasutan 1948 bersifat terlalu luas dan mudah disalahgunakan, sekali gus mewujudkan ketakutan untuk perbincangan yang sah, khususnya dalam isu yang melibatkan kepentingan awam. Sifat pencegahannya yang tidak memerlukan pembuktian kemudaratan sebenar boleh menimbulkan risiko besar terhadap kebebasan asas dalam masyarakat demokratik dan majmuk. SUHAKAM turut menekankan bahawa prosiding jenayah terhadap wartawan seharusnya digunakan sebagai langkah terakhir. Isu berkaitan etika kewartawanan atau tatakelakuan profesional wajar ditangani secara khusus melalui mekanisme kawal selia kendiri yang kukuh, selaras dengan prinsip demokrasi dan amalan terbaik antarabangsa dalam perlindungan kebebasan media.

Sehubungan itu, SUHAKAM menyeru Kerajaan untuk:

  1. Memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta melaksanakan pembaharuan undang-undang secara menyeluruh bagi memastikannya selaras dengan jaminan Perlembagaan dan piawaian hak asasi manusia antarabangsa;
  2. Menerapkan pendekatan berasaskan hak asasi manusia dan tidak menghukum dalam menangani isu sensitif berkaitan kaum dan diskriminasi, termasuk melalui usaha dialog, pendidikan dan pembaharuan institusi; dan
  3. Memperkukuh serta memberikan pengiktirafan sewajarnya kepada Majlis Media Malaysia (MMM) sebagai mekanisme kawal selia kendiri utama yang bebas bagi media, termasuk dengan mengutamakan rujukan kepada MMM dalam menangani aduan terhadap wartawan sebelum sebarang prosiding jenayah dimulakan.

SUHAKAM mengulangi pendirian bahawa kebebasan bersuara dan kebebasan media merupakan tonggak asas sebuah masyarakat demokratik. Walaupun Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan sekatan demi kepentingan ketenteraman awam, setiap sekatan yang dikenakan mestilah mematuhi prinsip yang sah, berkeperluan dan seimbang. Perlindungan terhadap hak-hak ini, di samping mempromosi kewartawanan yang bertanggungjawab, adalah penting bagi tadbir urus demokrasi, keharmonian sosial dan kepercayaan awam.

-TAMAT--

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
Tarikh: 21 Januari 2026

1

[OCC] Kenyataan Media No. 01-2026_Pesuruhjaya Kanak-Kanak Menyambut Baik Pelaksanaan Undang-Undang Yang Memberi Kewarganegaraan Automatik Kepada Anak Yang Dilahirkan Di Luar Negara Oleh Ibu Warganegara Malays

KUALA LUMPUR (10 JANUARY 2026) Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyambut baik pengumuman oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bahawa anak-anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia akan memperoleh kewarganegaraan Malaysia secara automatik menjelang Jun atau Julai 2026.

Pengumuman ini menyusuli kelulusan Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) berkaitan peruntukan kewarganegaraan pada Oktober 2024 dan merupakan satu langkah penting dalam menangani ketidaksamaan yang telah lama berlarutan dan menjejaskan hak kanak-kanak terhadap kewarganegaraan.

Walaupun OCC menyambut baik perkembangan ini, pindaan tersebut tidak terpakai kepada kes terdahulu. Oleh itu, kanak-kanak yang dilahirkan sebelum tarikh pelaksanaan perlu terus diberikan kewarganegaraan Malaysia melalui pendaftaran di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan. Tiada kanak-kanak wajar dinafikan hak kewarganegaraan akibat kelewatan pelaksanaan undang-undang ini.

OCC turut menghargai penurunan ketara jumlah tunggakan permohonan kewarganegaraan, daripada kira-kira 50,000 kes kepada kurang daripada 4,000 kes sejak Menteri Dalam Negeri mula memegang jawatan pada tahun 2022, ini juga termasuk kes yang dikendalikan oleh OCC. Perkembangan ini menunjukkan kemajuan yang nyata dalam pembaharuan pentadbiran.

OCC juga mengambil maklum bahawa Peraturan-Peraturan Kewarganegaraan 1964 yang dipinda dijangka dilaksanakan seiring dengan pelaksanaan pindaan perlembagaan tersebut. Dalam hal ini, OCC menggesa agar Peraturan-Peraturan yang dipinda ini didedahkan kepada umum, prosedur dipermudahkan, dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang jelas diwujudkan bagi memastikan pemohon mendapat maklumat mengenai perkembangan permohonan mereka serta menerima maklum balas bertulis sekiranya permohonan ditolak.

Bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan, OCC menyeru agar satu strategi komunikasi awam yang jelas diwujudkan, termasuk usaha libat urus di seluruh negara, serta latihan menyeluruh kepada pegawai barisan hadapan, khususnya di kedutaan dan perwakilan diplomatik Malaysia di luar negara.

OCC kekal komited untuk bekerjasama dengan Kerajaan bagi memastikan tiada seorang pun kanak-kanak dibiarkan tanpa kewarganegaraan, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan obligasi hak asasi manusia antarabangsa Malaysia.

-TAMAT-

Dr Farah Nini Dusuki

Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)

10 Januari 2026