Kenyataan Media No. 49-2025_SUHAKAM Seru ke Arah Akauntabiliti Serantau yang Lebih Tegas: ASEAN Tidak Boleh Mengabaikan Wanita dan Belia Myanmar

KUALA LUMPUR, MALAYSIA (17 OKTOBER 2025) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), pada 16 Oktober 2025 telah menganjurkan forum bertajuk “Strengthening Regional Accountability: ASEAN’s Failure on Women, Youth, Peace and Security in Myanmar” di Hotel IDEAS Kuala Lumpur. Forum ini telah anjuran bersama Progressive Voice and Alternative ASEAN Network on Burma (ALTSEAN-Burma) adalah platform bagi membincangkan krisis hak asasi manusia dan kemanusiaan yang semakin meruncing di Myanmar serta keperluan mendesak untuk memperkukuh mekanisme akauntabiliti serantau.

SUHAKAM teguh menyatakan solidariti bersama rakyat Myanmar, khususnya wanita dan belia yang terus berhadapan risiko berganda dan keganasan sejak rampasan kuasa secara haram pada tahun 2021. Forum ini telah mengangkat suara para pembela hak asasi manusia yang berkongsi testimoni secara langsung mengenai situasi kritikal di lapangan, termasuk keganasan seksual berkaitan konflik (CRSV) dan pelanggaran hak asasi manusia yang serius.

Pengerusi SUHAKAM, YBhg. Dato’ Seri Mohd Hishamudin Yunus, dalam ucapan perasmiannya menarik perhatian terhadap skala bencana kemanusiaan dan hak asasi manusia yang buruk di Myanmar. Data semasa menunjukkan lebih 3.5 juta orang telah dipaksa meninggalkan tempat asal mereka dan lebih 6,000 orang awam terkorban sejak 2021. Perbincangan forum menekankan keperluan mendesak untuk menamatkan budaya impuniti (tidak dihukum/tidak perlu bertanggungjawab) yang telah berlarutan berdekad lamanya terhadap kekejaman oleh pihak tentera, di mana mereka telah menyasarkan wanita, kanak-kanak perempuan dan belia daripada kumpulan etnik dan agama minoriti melalui keganasan sistematik, termasuk CRSV.

Sesi perbincangan panel turut memberi tumpuan kepada isu Wanita dan Keganasan Seksual dan Berasaskan Jantina (SGBV), serta wakil belia yang berkongsi pengalaman mereka dalam krisis berterusan ini. Panel turut menilai secara kritikal pelaksanaanASEAN Regional Plan of Action on Women, Peace and Security (RPA WPS). Perbincangan juga menumpukan kepada pematuhan CEDAW dan Beijing+30 yang mana kesemua negara ASEAN merupakan Negara Pihak kepada perjanjian ini. Walaupun kerangka ini menjanjikan perlindungan, penyertaan, pencegahan serta bantuan dan pemulihan, realiti di Myanmar jelas menunjukkan kegagalan ASEAN untuk melaksanakan komitmen tersebut.

SUHAKAM menzahirkan kebimbangan terhadap sikap berdiam diri dan kegagalan ASEAN dalam menangani keperluan dan suara wanita, kanak-kanak perempuan serta belia Myanmar. Pengecualian mereka daripada proses rundingan dan membuat keputusan berterusan meminggir dan melemahkan keberkesanan pelaksanaan RPA WPS dalam menangani krisis gender dan hak asasi manusia yang amat mendesak di rantau ini. Kepimpinan dan pengalaman wanita Myanmar yang berada di barisan hadapan perjuangan rakyat mesti diiktiraf dan diberi keutamaan dalam semua usaha keamanan dan keselamatan, sejajar dengan Resolusi 1325 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR 1325).

Berdasarkan testimoni dan perbincangan panel, SUHAKAM menyatakan sokongan terhadap seruan delegasi agar Malaysia memperkukuh sokongan kepada wanita dan belia Myanmar, khususnya dalam misi kemanusiaan serta usaha berterusan untuk menamatkan kezaliman tentera, budaya impuniti dan keganasan berasaskan gender.

SUHAKAM menggesa Kerajaan Malaysia, Ahli Parlimen, wakil diplomatik, media dan semua pihak berkepentingan untuk mengambil tindakan konkrit, termasuk:

  1. Menggunakan semua saluran diplomatik bagi mendesak ASEAN dan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk segera memberi keutamaan kepada usaha memulihkan keamanan dan kestabilan di Myanmar serta memastikan akses kemanusiaan tanpa halangan kepada komuniti yang terjejas sebelum sebarang pilihan raya diadakan;
  2. Mendesak penyertaan suara wanita dan belia Myanmar dalam semua mekanisme serantau dan antarabangsa yang membincangkan krisis Myanmar; dan
  3. Memperkukuh usaha bagi memastikan keadilan dan akauntabiliti terhadap jenayah kekejaman yang dilakukan oleh tentera Myanmar, termasuk CRSV.

SUHAKAM mengulangi komitmen untuk menggunakan platformnya sebagai Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRI) bagi memperjuangkan hak asasi manusia, keadilan dan akauntabiliti untuk rakyat Myanmar di peringkat serantau dan antarabangsa.

SUHAKAM juga menyeru agar akauntabiliti serantau diperkukuh dan kepimpinan berani ditunjukkan dalam ASEAN untuk bertindak segera. ASEAN tidak boleh gagal melindungi komuniti serantau, khususnya wanita dan belia Myanmar.

-TAMAT-

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
Tarikh: 17 Oktober 2025

Tags: No tags