KUALA LUMPUR (18 OGOS 2025) - Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menegaskan bahawa semua bentuk buli tidak boleh diterima sama sekali dan wajib ditangani dengan segera. Tingkah laku seumpama itu merupakan satu pelanggaran terhadap Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) yang telah diratifikasi oleh Malaysia, dan merupakan kesalahan yang boleh dihukum di bawah undang-undang Malaysia termasuklah melalui pindaan baharu Seksyen 507B – 507G Kanun Keseksaan. Semua kanak-kanak berhak untuk bersekolah dan tinggal di asrama tanpa rasa takut, gangguan atau keganasan.
Dalam hal ini, OCC mencadangkan supaya diwujudkan suatu Portal Sehenti Anti-Buli di seluruh negara yang bersifat inklusif bagi menguruskan laporan buli secara fizikal, buli siber dan buli di institusi. Portal ini perlu bersifat mesra kanak-kanak, menggunakan pelbagai bahasa serta boleh diakses oleh kanak-kanak kelainan upaya, dengan menyediakan video bahasa isyarat, pilihan teks serta audio. Ia juga hendaklah membolehkan kanak-kanak membuat laporan secara tanpa nama bagi menjamin keselamatan dan memudahkan mereka untuk menjejaki status laporan tersebut. Selain itu, platform ini juga perlu menyediakan panduan langkah demi langkah serta pautan segera bagi kes kecemasan, isu kesihatan mental, masalah di sekolah dan insiden siber, dengan menghubungkan pengguna terus kepada pihak berkuasa yang berkaitan seperti Talian Kasih, KPM, MARA, PDRM, JKM dan MCMC. Selain itu, ia perlu mempunyai pautan terus ke platform media sosial bagi permohonan menurunkan kandungan. Kaedah luar talian seperti SMS dan kotak aduan di sekolah serta institusi juga harus disediakan.
Di samping itu, semua sekolah dan asrama seharusnya diwajibkan untuk mempunyai Dasar Perlindungan Kanak-Kanak yang ditandatangani oleh guru, warden dan ibu bapa, serta dibangunkan dengan mengambil kira pandangan kanak-kanak. Dasar ini perlu merangkumi klausa anti-buli, prosedur pelaporan yang jelas, langkah perlindungan mangsa dan latihan wajib. Ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak sekolah perlu membuat ikrar rasmi untuk mencegah buli, menghadiri bengkel keibubapaan dan secara aktif mengikuti pelan intervensi untuk menangani isu anak-anak mereka.
Guru memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat dan inklusif. Pada masa ini, sukatan pelajaran hak kanak-kanak di Institut Pendidikan Guru (IPG) masih terhad skopnya kerana ia dibangunkan tanpa perundingan atau input daripada OCC. Bagi memastikan keselarasan dengan CRC, OCC mencadangkan supaya sukatan pelajaran ini disemak oleh OCC dan diperkukuh dengan sewajarnya. Selain itu, OCC juga mengambil maklum bahawa modul hak asasi manusia yang dibangunkan bersama IPG, yang merangkumi satu bab mengenai hak kanak-kanak, masih lagi bersifat pilihan. Justeru, kami mendesak agar modul ini diwajibkan untuk semua guru pelatih di IPG serta diperluas kepada guru yang sedang berkhidmat di seluruh negara, supaya setiap pendidik dilengkapi dengan pengetahuan yang dapat melindungi, menegakkan dan mempromosikan hak kanak-kanak.
OCC turut menyeru Kerajaan, Kementerian Pendidikan, sekolah, guru, ibu bapa dan masyarakat untuk mengambil tindakan segera. Penguatkuasaan undang-undang, penambahbaikan saluran pelaporan dan perlindungan terhadap privasi kanak-kanak, sama ada yang menjadi mangsa mahupun yang didakwa sebagai pelaku, adalah penting. Membuli bukanlah budaya kita; sebaliknya, ia merupakan pelanggaran hak kanak-kanak yang mesti dihapuskan sepenuhnya.
-TAMAT-
Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC)
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
Tarikh: 18 Ogos 2025