KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa Malaysia perlu telus dalam mengendalikan isu-isu berkaitan hak asasi manusia seperti kes hilang paksa dan pelarian.
Pesuruhjaya, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Jerald Joseph berkata kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan hak asasi semua individu yang menetap sama ada warganegara atau bukan, terus terpelihara.
“Ketelusan dan kebenaran itu harus hadir dari kerajaan sendiri sebab kerajaan adalah institusi yang diamanahkan untuk menjaga setiap orang yang tinggal di Malaysia.
“Isu kehilangan hak asasi yang serius ini termasuklah berkenaan isu kehilangan paksa yang masih belum ada penyelesaian sehingga hari ini,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Beliau mengulas perkara itu sempena Hari Antarabangsa untuk Hak Mendapatkan Kebenaran Mengenai Pelanggaran Hak Asasi Manusia yang Ganas Demi Maruah Mangsa yang diraikan setiap 24 Mac.
Mengambil kira pencabulan hak asasi manusia pelarian, Jerald berkata telah tiba masanya untuk Malaysia meratifikasikan Konvensyen Pelarian 1951 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dalam usaha menangani krisis pelarian khususnya, Rohingya.
“Ia akan menolong kita untuk mengadakan satu sistem dan piawaian untuk menjaga golongan pelarian ini.
“Perlu diingat, konvensyen ini tidak akan memberi lesen kepada sesiapa untuk memasuki sesuatu negara secara sewenang-wenangnya.
“Ada agensi-agensi yang perlu lakukan semakan dan sahihkan status mereka sebagai pelarian.
“Tidak bermaksud apabila kita (Malaysia) tanda tangan, esok berjuta akan masuk – ia tidak akan berlaku,” jelasnya.
Menurutnya, Malaysia tidak ada pilihan lain sebaliknya meperakui dan melaksanakan piawaian antarabangsa dalam memenuhi hak asasi manusia.
“Ia termasuk memastikan urus tadbir negara yang baik, tiada rasuah, sistem merit dan tidak boleh memilih bulu dalam apa situasi.
“Kerajaan juga tidak boleh menutup sebelah mata bagi sesetengah kes selain agensi penguatkuasa mestilah telus,” katanya lagi.