KUALA LUMPUR: Isu ketidaksamaan sosial yang masih membelenggu wanita sehingga kini di seluruh dunia berpunca daripada sikap ‘pilih kasih’.
Situasi sedemikian yang terus wujud meskipun memasuki abad ke-20 juga disebabkan budaya global yang lebih berteraskan stereotaip jantina dan ketidakseimbangan kuasa.
Penasihat Hal Ehwal Kesihatan Awam Perdana Menteri, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, ketika menyatakan pendirian sedemikian berkata pandemik COVID-19 yang mula melanda dunia, sejak penghujung 2019 memberi kesan lebih teruk terhadap isu ketidaksamaan sosial.
Katanya, kemunculan wabak itu terus memberi tamparan hebat terhadap status wanita meskipun mereka mewakili separuh daripada keseluruhan penduduk dunia.
“Wanita juga mewakili 70 peratus petugas kesihatan di peringkat global, tetapi hanya 25 peratus menyandang tugas sebagai pemimpin kanan.
“Malah, jurang jantina seolah-olah bukan lagi rahsia ketika ini dan semuanya berpunca daripada pelbagai faktor,” katanya dalam ucapan khas sempena Forum Kepemimpinan Wanita: Mengecapi Masa Depan Saksama Dalam Dunia COVID-19, hari ini.
Forum yang diadakan secara maya itu dianjurkan Kementerian Luar, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dr Jemilah berkata perkembangan semasa di Malaysia pula menyaksikan tugas untuk menjaga segenap aspek seisi rumah masih diletakkan di bahu wanita, malah mereka dilihat menjadi benteng hadapan ketika perang menentang COVID-19.
Selain itu, katanya, golongan wanita seakan ‘penyerap’ kesan COVID-19 dalam kalangan masyarakat walaupun terpaksa mengharungi pelbagai ketidaktentuan dan risiko.
“Semuanya berbekalkan semangat sebagai seorang ibu, isteri, anak perempuan, kakak, pekerja, pelajar dan lain-lain.
“Malah, ada kalanya semua peranan ini digalas seorang wanita pada waktu yang sama, justeru tema Hari Wanita tahun ini ialah #ChooseToChallenge (#PilihUntukMencabar).
“Maka, ayuh kita cabar diri untuk ketengahkan kisah pengorbanan, perit, bertungkus lumus dan kesukaran yang perlu diharungi wanita supaya ia diketahui umum.
“Penting untuk kita beri peluang kepada wanita sebagai antara pemacu pembuat keputusan, tetapi usah dihadkan, sebaliknya buka seluas-luasnya,” katanya.