Setelah beroperasi lebih daripada satu tahun, Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak (OCC) telah mengenal pasti kanak-kanak tanpa kewarganegaraan sebagai isu yang amat penting. Pertama sekali, klasifikasi ‘tanpa kewarganegaraan’ iaitu tanpa identiti dan identifikasi adalah bertentangan Artikel 8 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCRC), sementara reservasi pada Artikel 7, hak kepada kewarganegaraan perlu ditarik semula oleh Malaysia. Kanak-kanak tanpa kewarganegaraan dilucutkan hak untuk mendapat pendidikan kerana undang-undang semasa hanya membenarkan kanak-kanak warganegara untuk menghadiri sekolah awam harian. Kanak-kanak bukan warganegara pula dibebani kos yang mahal atau terpaksa menghadiri sekolah alternatif yang tidak dapat memberikan pendidikan mengikut piawaian dan kualiti sewajarnya. Kanak-kanak tanpa kewarganegaraan juga tidak mendapat rawatan perubatan percuma, mudah dieksploitasi dan didera. Yang paling penting, mereka tidak dapat menyuarakan permasalahan yang dialami dan berterusan didiskriminasi.

Berikutan daripada sesi rundingan dan dialog yang dianjurkan oleh OCC bersama agensi kerajaan dan bukan kerajaan berkenaan isu ini, telah dikenalpasti tiga sebab utama mengapa kanak-kanak tanpa kewarganegaraan wujud di Malaysia. Pertama, perkahwinan yang tidak teratur menyebabkan kelahiran anak tidak didaftarkan (diskriminasi terhadap kanak-kanak yang dilahirkan di luar pernikahan); kedua, berkenaan isu prosedur yang tidak konsisten di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di peringkat daerah dan negeri; dan ketiga, undang-undang yang dirujuk iaitu Perlembagaan Persekutuan (FC) dan Akta Pengangkatan 1952 yang memerlukan pindaan.

Bagi Sabah dan Sarawak, kedua-dua negeri mempunyai masalah tambahan di mana kawasan geografi yang luas mengehadkan akses penduduk luar bandar bagi kedua-dua negeri ini untuk ke pejabat pendaftaran yang terletak di bandar. Selanjutnya, bagi Sarawak, Jawatankuasa Khas (JKK) yang ditubuhkan sebelum tahun 2018 untuk mengkaji permohonan kewarganegaraan telah dibubarkan dan tidak lagi aktif.

Antara kaedah yang telah dikenalpasti untuk menyelesaikan masalah tersebut adalah:

(i) Lebih banyak program kesedaran perlu dilaksanakan bagi memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang pentingnya perkahwinan mengikut prosedur sepatutnya;
(ii) Kementerian Dalam Negeri digesa melaksanakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah diwujudkan pada 1 Januari 2020 bagi mempercepat proses permohonan kewarganegaraan;

(iii) Semua cawangan JPN sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri mesti membuat pembaharuan dan keseragaman dalam sistem pentadbiran mereka untuk mengelak prosedur yang tidak konsisten;

(iv) Perkara 14 (1) (b) dan Jadual Kedua, Bahagian II, Seksyen 1 (b) dan Seksyen 17 di FC perlu digubal untuk menangani masalah tanpa kewarganegaraan dalam kalangan kanak-kanak; dan
(v) Akta Pengangkatan 1952 harus dikaji semula untuk membolehkan anak angkat mempunyai hak yang sama dengan anak kandung kepada keluarga angkat.

OCC bertekad untuk melaksanakan kesemua kaedah penyelesaian di atas bagi memastikan isu ini dapat ditangani pada tahun 2023.