
PENGENALAN
Konvesyen 1954 berkaitan Status Orang Tanpa Kerakyatan telah menetapkan definisi undang-undang bagi orang takpa kewarganegaraan sebagai individu yang tidak dianggap sebagai rakyat atau warganegara dibawah operasi undang-undang di mana-mana negara. Di Sabah, isu tanpa kewarganegaraan adalah isu yang telah lama berlarutan yang memerlukan campurtangan segera kerana ramai yang telah dinafikan hak asasi manusia mereka untuk jangkamasa yang panjang sehingga bergenerasi.
Memandangkan asas Forum Institusi Hak Asasi Manusia Asia Tenggara (SEANF) dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia di Asia Tenggara melalui kerangka kerjasama, SUHAKAM telah menerajui kerjasama dengan tiga pihak iaitu Komisi Nasional Hak Asasi Manusia Indonesia (Komnas HAM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Filipina (CHRP) untuk menangani isu dan cabaran tanpa kewarganeragaan di Sabah.
Pada Julai 2020, SUHAKAM, Komnas HAM dan CHRP telah menandatangani MoU dengan objektif untuk mengenalpasti penyelesaian yang pragmatic untuk menangani isu tanpa kewarganegaraan di Sabah melalui pendekatan berteraskan hak asasi.
Untuk melaksanakan MoU tersebut, satu pelan tindakan telah dibangunkan dan diterima pakai oleh ketiga-tiga pihak. Pelan tindakan tersebut menggariskan aktiviti termasuklah antaranya penglibatan dengan agensi kerajaan yang berkaitan dan mekanisme hak asasi manusia serantau dan antarabangsa untuk mencari potensi penyelesaian bagi mengurangkan isu tanpa kewarganegaraan di Sabah.
MoU tersebut akan terus berkuatkuasa sehingga Disember 2021.