13 Jan 2022
Pendirian Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia Berkaitan Isu Kebebasan Beragama
Sebagai sebuah Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) melalui undang-undang persekutuan, iaitu Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, mempunyai mandat untuk menasihati dan memberikan pandangan kepada Kerajaan Malaysia mengenai langkah atau tindakan yang perlu diambil terhadap sebarang perlanggaran hak asasi manusia, penambahbaikan undang-undang dan dasar-dasar Kerajaan agar selaras dengan prinsip hak asasi manusia serta piawai hak asasi manusia antarabangsa seperti yang termaktub di dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) 1948 dan Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 4(1) menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama di Malaysia dan mana-mana undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah terbatal setakat mana ianya bercanggah. Lebih menarik lagi Perkara 160(2) sewaktu mendefinisikan makna undang-undang menyatakan - “Undang-undang” termasuklah undang-undang bertulis, common law setakat yang berkuat kuasa di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, dan apa-apa adat atau kelaziman yang mempunyai kuat kuasa undang-undang di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya”.
Artikel 18 UDHR pula secara jelas menyatakan – “Everyone has the right to freedom of thought, conscience and religion; this right includes freedom to change his religion or belief, and freedom, either alone or in community with others and in public or private, to manifest his religion or belief in teaching, practice, worship and observance”.
Ini juga disokong oleh Artikel 20(b) Deklarasi Kaherah Mengenai Hak Asasi Manusia Dalam Islam 1990 yang menyatakan bahawa “No one shall be subject to coercion, which would impair his/her freedom to have or to adopt a religion or belief of his choice.”
Di Malaysia, kebebasan beragama juga dijamin di bawah Perkara 11, Perlembagaan Persekutuan di mana ia menetapkan bahawa setiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya. Perkara 11(1) menyatakan - “Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4) mengembangkannya”. Fasal (4) memberikan kuasa kepada undang-undang negeri dan undang-undang persekutuan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan untuk mengawal dan menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam. Peruntukan ini dilihat selari dengan Jadual Ke-9, Senarai II, Item 1 – “mengawal pengembangan doktrin dan kepercayaan di kalangan orang yang menganut agama Islam;”.
Justeru, jelas difahami bahawa kebebasan menganuti atau mengamalkan agama tercatat di dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak ada sekatan atau sebarang halangan untuk melaksanakan sebarang jenis upacara keagamaan di Malaysia.
Suruhanjaya berpandangan bahawa setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang, jantina, bangsa dan agama adalah dijamin hak asasinya sepertimana yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, ini termasuklah golongan rentan. Ia meliputi hak untuk hidup (iaitu meliputi hak untuk mencari nafkah, hak privasi dan hak untuk hidup secara bermaruah), bergerak, beragama, mendapat pendidikan, memiliki harta, mendapat penjagaan kesihatan dan peluang pekerjaan. Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa setiap orang adalah setara di sisi undang-undang dan tidak boleh didiskriminasikan.
Hak Asasi Untuk Semua.